200 terima daging korban anjuran Ikhlas.Com, Mahsuri Food dan IPD Besut - Utusan Malaysia

200 terima daging korban anjuran Ikhlas.Com, Mahsuri Food dan IPD Besut

Antara penerima daging korban menerusi Program Korban Asnaf Ikhlas.Com, Mahsuri dan Frontliner IPD Besut di Pulau Perhentian.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sempena sambutan Hari Raya Aidiladha baru-baru ini Ikhlas.Com bersama Mahsuri Food Sdn. Bhd. (Mahsuri Food), dan barisan hadapan di ibu pejabat polis daerah Besut telah menganjurkan program korban untuk penduduk di Pulau Perhentian.

Seramai 200 penghuni di pulau peranginan itu telah menerima agihan daging korban melalui program tersebut.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Abdul Rozak Muhammad berkata, majoriti penduduk Pulau Perhentian terlibat dalam sektor pelancongan dan mereka hilang punca pendapatan selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Kita prihatin dengan nasib mereka yang terjejas dan agihkan daging korban di sana dengan melibatkan kira-kira 200 rumah yang kita sudah kenal pasti.

“Selain itu, seramai 14 anggota polis yang bertugas menjaga keselamatan di sana juga akan menerima sumbangan sama. Mereka tidak boleh tinggalkan pulau jadi kita akan pergi hantar kepada mereka,” katanya selepas hadir ke lokasi penyembelihan lembu korban di Hotel Primula Pointray Besut.

Sementara itu, Ketua Komersial Mahsuri Food, Mohd. Jazri Ikmal Hijaz berkata, Program Korban Asnaf Ikhlas.Com, Mahsuri dan Frontliner IPD Besut merupakan program ibadah korban kedua diadakan bersama Ikhlas.Com selepas yang pertama di Selangor pada tahun lepas.

“Ini antara program tanggungjawab sosial korporat (CSR) ke-13 yang kita laksanakan di beberapa lokasi seluruh negara sejak Jun tahun lepas. Ia bertujuan menyantuni golongan luar bandar khususnya asnaf dan golongan berpendapatan rendah (B40) yang terjejas ekoran pelaksanaan sekatan penuh pergerakan sejak bulan lepas.

“Sebelum ini, kita sudah santuni komuniti pedalaman di Rembau, Negeri Sembilan, agihan bakul makanan kepada 700 penerima di Kedah dan Pantai Timur selain memperkasakan ekonomi wanita melalui perniagaan gerai burger,” katanya.

Ketua Komersial Ikhlas.Com, Mohd. Nor Effendi Yahya memaklumkan, Ikhlas.Com menguruskan ibadah korban hampir 100 ekor lembu yang ditempah pelbagai pihak di Selangor, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu, Melaka dan Sabah pada tahun ini.

“Selain ibadah korban, Ikhlas.Com iaitu anak syarikat AirAsia memberikan pelbagai perkhidmatan yang diperlukan seorang muslim dalam menjalani kehidupan harian dan tahunan secara dalam talian.

“Kita juga mahu membudayakan masyarakat setempat melaksanakan ibadah dan aktiviti tradisi melalui dunia digital berasaskan kepercayaan serta patuh syariah selain menjual pelbagai produk mesra muslim melalui e-dagang,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.