20 pekerja dikompaun gagal patuhi SOP - Utusan Malaysia

20 pekerja dikompaun gagal patuhi SOP

POLIS membuat pemeriksaan seorang pekerja di sebuah tapak pembinaan berdekatan Lebuhraya Central Spine Road (CSR) sempena Op Patuh di Lipis, Pahang. - IHSAN IPD LIPIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LIPIS: Leka bekerja sehingga cuai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) menyebabkan 20 pekerja dikompaun ketika Operasi Bersepadu Pemantauan Pematuhan SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atau Op Patuh di daerah ini.

Operasi yang bermula pada pukul 9 pagi itu melibatkan penugasan membabitkan seramai 13 pegawai dan 46 orang terdiri daripada anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta kakitangan Majlis Daerah Lipis dan Pejabat Kesihatan Daerah.

Dalam operasi berkenaan, 17 buah premis, kilang dan tapak pembinaan serta 95 individu diperiksa.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintenden Azli Mohd. Noor berkata, tiga tapak pembinaan Lebuhraya Central Spine Road (CSR) diperiksa dengan empat pekerja dikesan tiada penjarakan fizikal manakala seorang pekerja namanya tidak tersenarai dalam Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

“Pemeriksaan mendapati seorang lagi gagal mengimbas kod QR. Masing-masing dikenakan kompaun RM2,000 atas kesalahan tersebut,” katanya di sini hari ini.

Menurut Azli, Op Patuh melibatkan penugasan tiga kumpulan pemantau diketuai seorang pegawai PDRM juga memeriksa premis, kilang dan stesen minyak di daerah ini.

“Semasa operasi ini, polis telah mengenakan kompaun masing-masing bernilai RM2,000 kepada enam orang pekerja beberapa premis kerana tidak memakai pelitup muka, tidak mendaftar dalam aplikasi MySejahtera (dua orang) dan seorang pekerja namanya tiada tersenarai dalam MITI,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berharap orang ramai dan pekerja di semua premis mematuhi SOP terutamanya penjarakan fizikal, memakai pelitup muka, mempunyai aplikasi MySejahtera dan berdaftar di bawah MITI yang terlibat dengan kerja di kawasan pembinaan.

“Polis menerusi Op Patuh tidak teragak-agak untuk mengenakan kompaun bagi kesalahan tersebut sebagai usaha menyedarkan masyarakat supaya mematuhi SOP PKP khususnya membantu kerajaan memulihkan ancaman pandemik Covid-19 yang masih belum berpenghujung,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN