PUTRAJAYA: Dua perkampungan masyarakat Orang Asli suku Jakun di Daerah Rompin, Pahang, iaitu Kampung Kerpal dan Kampung Pinang bakal dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mulai lusa hingga 21 Julai ini.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, turut dikenakan langkah serupa ialah Kampung Mambong, Bahagian Kuching, Sarawak dan Kampung Sri Menanti, Bahagian Tawau, Sabah.
“PKPD yang membabitkan perkampungan di Pulau Gaya, Daerah Kota Kinabalu, Sabah diperluas kepada tiga lagi kampung melibatkan Kampung Kasuapan, Kampung Lok Urai dan Kampung Pulau Gaya, selain lokaliti sedia ada, Kampung Pondo yang sudah pun dilaksanakan PKPD sejak 30 Jun lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, PKPD yang melibatkan lima lagi lokaliti di negeri tersebut ditamatkan esok antaranya tiga perkampungan di Bahagian Tawau dengan Kampung Kuala Merotai, Daerah Kalabakan berakhir lebih awal daripada jadual sepatutnya pada Jumaat ini.
Dua lagi ialah Kampung JKR Lama dan Kampung Pangi Hujung manakala dua di Bahagian Pantai Barat, ialah Kampung Kebayau, Kota Belud dan Kampung Likas, Kota Kinabalu.
Sementara itu, Ismail Sabri berkata, bilangan pesalah ingkar prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) di seluruh negara semalam merekodkan 548 individu ditahan dengan 539 daripadanya dikompaun manakala sembilan lagi direman.
Beliau berkata, kesalahan tertinggi ialah gagal merekod butiran diri di premis sebanyak 91 kes, diikuti tiada penjarakan fizikal dengan 81 kes, tidak memakai pelitup (79), tidak patuh arahan kawalan pergerakan (54), membawa penumpang secara berlebihan (48) dan lain-lain lagi (195). – UTUSAN ONLINE