Tarif 25 peratus AS bukan kerana BRICS

Tarif 25 peratus AS bukan kerana BRICS

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani menyampaikan ucapan ketika Sesi Taklimat Sawit dan Dialog Industri di Hotel Sheraton.-UTUSAN/SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tarif 25 peratus yang dikenakan Amerika Syarikat (AS) ke atas eksport Malaysia bermula 1 Ogos ini tidak ada kaitan dengan penyertaan negara dalam BRICS.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, produk seperti minyak dan gas tidak dieksport ke AS manakala sektor semikonduktor pula diberikan pengecualian tarif sehingga 1 Ogos.

Beliau berkata, semua pihak diingatkan tidak membuat spekulasi berhubung dasar luar negara termasuk isu perdagangaan kerana ia boleh menjejaskan keyakinan pelabur dan kestabilan ekonomi negara.

“Untuk isu konsesi perdagangan antara Malaysia dan AS, itu bidang Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.

“Kita tak boleh buat spekulasi tentang dasar luar negara kerana ia boleh jejaskan ekonomi. Jadi, tidak timbul isu penyertaan dalam BRICS sebagai punca tarif ini dikenakan,” katanya ketika ditemui pada Sesi Taklimat Sawit dan Dialog Industri anjuran Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) di sini, hari ini.

Akhbar ini melaporkan, Presiden AS, Donald Trump mengumumkan tarif baharu yang lebih tinggi terhadap 14 negara termasuk Malaysia, Jepun dan Korea Selatan dalam usahanya merundingkan perjanjian perdagangan baharu.
Namun, Trump melanjutkan tarikh kuat kuasa tarif sehingga Ogos.

Trump turut mengeluarkan surat rasmi kepada Malaysia dan negara-negara seperti Indonesia, Bangladesh, Thailand dan Afrika Selatan menyatakan, akan mengenakan duti import antara 25 hingga 40 peratus.

Johari berkata, daripada jumlah keseluruhan eksport negara sebanyak RM186 bilion tahun lalu, hanya sekitar RM20 bilion melibatkan pasaran AS.

Katanya, antara produk utama yang dieksport termasuk produk getah (seperti sarung tangan), perabot kayu, oleokimia daripada minyak sawit, koko dan coklat.

“Untuk minyak sawit, khususnya dalam bentuk oleokimia, AS tidak mempunyai alternatif yang mampu menggantikan produk kita. Jadi apabila tarif dikenakan, kos itu akhirnya akan ditanggung oleh pengguna mereka sendiri,” katanya.

Beliau berkata, walaupun kadar tarif dinaikkan, Malaysia mampu bersaing kerana pasaran global tidak bergantung semata-mata kepada AS.

Katanya, sebagai contoh produk sarung tangan turut dikeluarkan oleh negara seperti China dan Vietnam yang dikenakan tarif lebih tinggi berbanding Malaysia.

“Begitu juga dengan perabot. Pembelian perabot banyak bergantung pada reka bentuk dan reka bentuk kita unik. Kalau harga naik 25 peratus pun, itu bukan penghalang besar. Kita ada lebih 190 negara di dunia. Tak kan satu negara naikkan tarif, kita terus tak boleh berniaga?” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN