PETALING JAYA: Tuduhan mempengaruhi keputusan mahkamah dan kelewatan pelantikan hakim mencetuskan persoalan bahawa wujudnya campur tangan dalam sistem kehakiman negara.
Bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohd. Rafizi Ramli berkata, dari sudut pandangan umum, ia menguatkan spekulasi cabang Eksekutif mahu mempengaruhi pelantikan hakim-hakim yang difikirkan lebih serasi dengan
pandangan kerajaan.
Katanya, perkara-perkara yang boleh mengundang spekulasi seperti cubaan mempengaruhi pelantikan hakim perlulah dielakkan, sekalipun ia tidak melanggar tatacara prosedur.
“Apatah lagi dalam keadaan sekarang, kenyataan AGC mengesahkan mesyuarat JAC memang membincangkan mengenai tuduhan cuba mempengaruhi keputusan kes oleh seorang hakim Mahkamah Persekutuan.
“Bukanlah tempat atau hak AGC untuk menilai dan menentukan sama ada ia satu dakwaan pramatang atau bersifat spekulatif semata-mata.
“AGC sendiri mengakui pertimbangan dalam mesyuarat JAC adalah bersifat rahsia, jadi bagaimana AGC boleh membuat kesimpulan dakwaan-dakwaan itu tidak ada merit?” soalnya dalam kenyataan di sini hari ini.
Semalam, sembilan ahli Parlimen PKR yang diketuai oleh Mohd. Rafizi mendesak kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan yang berlegar berhubung pelantikan hakim.
Susulan itu, AGC menerusi kenyataan akhbar pagi tadi, memaklumkan proses pelantikan jawatan hakim tertakluk kepada tatacara yang ditetapkan mengikut Perlembagaan Persekutuan.
Ahli Parlimen Pandan itu berkata, kenyataan rasmi oleh AGC itu sebenarnya mengesahkan terdapat kelewatan dalam proses pelantikan hakim dan ada pencalonan dari JAC yang tidak dipertimbangkan atau tidak diambil tindakan.
Jelasnya, mesyuarat JAC yang terkini juga dipanggil tanpa mematuhi notis 10 hari seperti kehendak pentadbiran.
“Ia juga mengesahkan tuduhan seorang hakim Mahkamah Persekutuan terlibat dalam mempengaruhi keputusan mahkamah dan penugasan semula hakim ada dibincangkan di dalam satu mesyuarat JAC.
“Penjelasan-penjelasan yang diberikan menerusi kenyataan akhbar adalah pandangan AGC mengenai semua perkara berkenaan tidaklah serius sehingga boleh menjerumuskan institusi kehakiman ke kancah krisis dan tidak boleh disamakan dengan skandal VK Lingam pada 2007,” katanya.
Sebab itu, bekas Menteri Ekonomi itu mengesyorkan RCI ditubuhkan bagi menyiasat dan memutuskan mengenai segala dakwaan tersebut.
“Selagi ia tidak diselesaikan, ia akan mengundang kemarahan kepada pentadbiran Perdana Menteri.
“Integriti badan kehakiman bukan terletak semata-mata kepada susun atur dan perjalanan proses mengikut prosedur. Lebih penting, integriti badan kehakiman perlu diyakini oleh rakyat dan pemegang taruh, yang menilai perkara-perkara secara keseluruhan dalam konteks rentetan peristiwa yang berlaku,” katanya.-UTUSAN











