1,800 keluarga B40 terima bantuan TNB - Utusan Malaysia

1,800 keluarga B40 terima bantuan TNB

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lebih 1,800 keluarga golongan berpendapat rendah (B40) di seluruh Semenanjung Malaysia menerima bantuan wang Tabung Warga TNB Prihatin (WTP).

MAHDZIR KHALID

Pengerusi Tenaga Nasional Berhad (TNB), Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, bantuan bernilai lebih RM1 juta diberikan bagi membantu mereka yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Selain itu katanya, sumbangan yang diberikan itu bertujuan menampung perbelanjaan penerima sumbangan berkenaan.

“Tabung WTP adalah wadah warga kerja syarikat milik kerajaan (GLC) untuk terus membantu rakyat yang memerlukan dalam situasi pandemik ini.

“Terima kasih saya ucapkan kepada pemimpin kesatuan dan persatuan dalaman yang bersepakat menubuhkan tabung, serta pelbagai pihak yang membantu kami mengenalpasti penerima bantuan dengan wang  RM1.52 juta terkumpul daripada warga kerja TNB, ” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mahdzir berkata,  sambutan baik warga kerja TNB menjayakan tabung ini adalah manifestasi nilai murni untuk membantu kerajaan menjayakan Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“TNB menumpukan empat aspek iaitu menyelamatkan nyawa, melindungi golongan rentan, menyediakan bekalan elektrik yang stabil dan memacu pemulihan ekonomi.

“Dalam suasana ramai yang tertekan akibat pandemik Covid-19 dengan ada yang kehilangan sebahagian punca pendapatan bahkan ada yang kehilangan pekerjaan, tabung amal ini juga memberi keinsafan kepada warga kerja kami untuk sentiasa berkongsi nikmat,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN