142 kes dera kanak-kanak dilapor di Negeri Sembilan - Utusan Malaysia

142 kes dera kanak-kanak dilapor di Negeri Sembilan

NICOLE Tan Lee Koon (kanan) dan Rosnah dalam sidang akhbar di Pusat Khidmat, DUN Bukit Kepayang, Seremban 2, Seremban hari ini. - UTUSAN/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Sebanyak 142 kes melibatkan penderaan kanak-kanak dilaporkan berlaku di Negeri Sembilan dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Kebajikan negeri, Nicole Tan Lee Koon berkata, kesemua kes tersebut melibatkan antaranya penderaan fizikal, emosi dan pengabaian.

“Sebanyak 85 kes penderaan fizikal dilaporkan diikuti penderaan seksual 36 kes, penderaan emosi (empat), pengabaian (13) dan kes ditinggalkan ibu bapa (buang bayi) melibatkan empat kes,” katanya dalam sidang akhbar di Pusat Khidmat, Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kepayang, Seremban 2, di sini hari ini.

Yang hadir sama, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri, Rosnah Sardi.

Dalam pada itu, menurut beliau, sejak bulan Mac tahun lalu sehingga Disember, sebanyak 341 kes melibatkan penderaan kanak-kanak dilaporkan.

“Jika dilihatkan, kes tahun lalu agak tinggi namun ini tidak bermakna kita semua perlu leka. Jabatan Kebajikan Masyakat (JKM) berharap jiran-jiran perlu menjadi ‘mata’ dan ‘telinga’ sekiranya  berlaku penderaan,” katanya lagi.

Sementara itu, Rosnah memberitahu, pihaknya mendapat perintah mahkamah untuk hak penjagaan sementara seorang kanak-kanak perempuan orang kurang upaya (OKU) ‘sindrom down’ yang dilaporkan didera oleh penjaganya di sebuah pusat jagaan di Wangsa Maju, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menurutnya, kanak-kanak berusia 13 tahun itu kini ditempatkan di Taman Sinar Harapan, Tunku Ampuan Najihah di Temiang dekat sini.

“Pihak kami mendapat perintah penjagaan sementara sehingga bulan Oktober ini dan dia dijangka akan bersekolah pada tahun hadapan,” katanya lagi.

Pada 24 Jun lalu, Polis Kuala Lumpur menyelamatkan seorang kanak-kanak perempuan berusia 13 tahun yang melecur di beberapa anggota badan dipercayai akibat didera penjaganya di sebuah kondominium di Wangsa Maju.

Kondominium itu didakwa dalam proses didaftarkan sebagai pusat jagaan kanak-kanak OKU. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN