ALOR SETAR: Seramai 12 lagi kakitangan Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di Sungai Petani, dekat sini disahkan positif Covid-19 menjadikan keseluruhan jangkitan barisan hadapan berkenaan 42 kes sehingga hari ini.
Pengarah Kesihatan Kedah, Dr. Othman Warijo memberitahu, kesemua terlibat kini menjalani kuarantin di rumah.
“Kesemua mereka berada pada kategori tahap satu serta dua jangkitan dan kini menjalani kuarantin di rumah masing-masing,” katanya di sini hari ini.
Mengulas tentang jangkitan varian baharu iaitu, Delta dari India dan Beta dari Afrika Selatan dalam kalangan petugas berkenaan, kata beliau, setakat ini tiada sebarang pengesahan berhubung perkara itu.
Dilaporkan, sebelum ini seramai 30 kakitangan terdiri daripada doktor, jururawat serta pekerja pembersihan Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di Sungai Petani disahkan positif Covid-19, baru-baru ini.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Dr. Mohd. Hayati Othman dalam satu mesej WhatsApps hari ini memberitahu, situasi di hospital berkenaan masih terkawal dan rawatan di bahagian kecemasannya masih berjalan seperti biasa, namun kawalan lebih ketat. – UTUSAN ONLINE










