KOTA TINGGI: Seramai 11 individu termasuk remaja bawah umur yang mengadakan parti liar ditahan dan dikenakan kompaun sebanyak RM4,000 seorang dalam serbuan dilakukan di sebuah inap desa di Taman Desaru Utama, Bandar Penawar awal pagi ini.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Hussin Zamora berkata, pemeriksaan pada pukul 4 pagi itu dilakukan selepas menerima maklumat daripada orang awam.
“Kumpulan yang terdiri daripada lapan lelaki dan tiga perempuan berusia 17 hingga 25 tahun itu didapati berhibur dengan memasang muzik kuat di inap desa tersebut.
“Ekoran itu tindakan kompaun dikeluarkan ke atas kesemua individu terlibat kerana gagal mematuhi arahan Ketua Pengarah Kesihatan dibawah Peraturan 11(1) Peraturan2 Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021 (Larangan berhimpun dlm premis bagi tujuan sosial).
“Dalam serbuan tersebut, polis mengesan sejumlah dadah disyaki jenis ketamin dengan berat kasar 4.19 gram dan enam biji pil ekstasi anggaran seberat 1.8 gram,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Hussin berkata, hasil ujian air kencing mendapati tujuh lelaki dikesan positif dadah manakala selebihnya negatif.
Jelasnya, bagi kes melibatkan dadah dan positif dadah bagi ujian air kencing, polis telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Kesemua remaja yang ditangkap berasal dari daerah Kota Tinggi dan telah dibawa ke Balai Polis Penawar untuk tindakan lanjut,” katanya.










