DUNGUN: Suruhannya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) giat menaik taraf 10 menara telekomunikasi di beberapa kampung di Hulu Dungun, di sini bagi mengatasi masalah liputan lemah di kawasan tersebut.
SKMM dalam kenyataan memaklumkan, kerja-kerja berkenaan dijangka selesai secara berperingkat bermula November ini melalui Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela).
Katanya, ia meliputi jajaran laluan Kampung Minda hingga ke Kampung Pasir Raja melibatkan Kampung Talong, Kampung Rantau Panjang, Kampung Kuala Jengai, Kampung Jongok Batu, Kampung Shukor dan Jongkok Batu.
“Sehingga kini, hanya satu pembekal perkhidmatan selesai menaik taraf menara sedia ada dan dapat memberikan perkhidmatan liputan 4G di kawasan tersebut.
“Kerja-kerja naik taraf menara-menara berkenaan dijangka siap secara berperingkat bermula November ini hingga Februari 2022 dan bakal memberi manfaat kepada lebih 3,000 penduduk di kawasan ini,” kata kenyataan itu.
Menurut SKMM, jajaran di sepanjang laluan Kampung Minda ke Kampung Pasir Raja sudah diliputi jalinan gentian optik (UNIFI). – UTUSAN ONLINE