PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesan cubaan memindahkan wang tunai berjumlah kira-kira RM2.4 juta yang dipercayai mempunyai kaitan dengan siasatan kes tender perolehan Tentera Darat Malaysia (TDM).
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, maklumat tersebut hasil risikan terbaharu yang diterima pihaknya semalam.
Menurutnya, wang itu ditemukan ketika seorang suspek awam cuba melarikan wang berkenaan dari sebuah kediaman ke kediaman yang lain.
“Pagi tadi saya dimaklumkan mengenai wang yang dirampas, lebih kurang RM2.4 juta dalam bentuk tunai.
“Ini adalah antara wang salah seorang subjek yang terbabit dalam kes ini yang cuba dilarikan dari satu rumah ke rumah lain,” katanya kepada pemberita ketika mengadakan kunjungan hormat ke Balai Berita Media Prima Bangsar.
Dalam pada itu, Azam berkata, pihaknya akan mengambil keterangan pegawai kanan TDM yang sebelum ini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) hari ini.
“Kita juga telah menahan isterinya, namun dimaklumkan ada masalah kesihatan iaitu darah tinggi. Jadi, kini dia (suspek) dibawa ke hospital untuk rawatan,” katanya.
Beliau juga mengesahkan SPRM akan mengeluarkan perintah reman terhadap pegawai terbabit sekiranya gagal tampil ke SPRM untuk dirakam percakapan.
Media semalam melaporkan, SPRM menahan reman 17 pengarah syarikat kerana disyaki terbabit dalam rangkaian kartel tender projek perolehan itu.
Perintah reman selama lima hari sehingga 10 Januari ini terhadap kesemua suspek dikeluarkan Majistret Ezrene Zakariah selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi.
Siasatan awal mendapati kesemua suspek disyaki membayar wang rasuah kepada pegawai kanan TDM sebagai balasan untuk mendapatkan projek-projek pembekalan dan penyelenggaraan dengan TDM. – UTUSAN









