1.12 juta nasi bungkus percuma untuk rakyat terkesan PKP - Utusan Malaysia

1.12 juta nasi bungkus percuma untuk rakyat terkesan PKP

AGIHAN nasi bungkus kepada orang ramai dibuat secara pandu lalu di depan restoran Sri Cheng Mai, Jalan Sri Cemerlang, Kota Bharu hari ini. - UTUSAN/ROSALWANI CHE SOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Yayasan Usahawan Sosial Malaysia (MSEF) memperuntukkan RM4.5 juta untuk mengagihkan 1.12 juta nasi bungkus kepada rakyat yang terkesan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mulai hari ini hingga 31 Ogos ini.

Timbalan Pengerusi MSEF,  Datuk Chan Wah Kiang berkata, agihan nasi bungkus menerusi Program Free Meal yang bermula hari ini digerakkan di seluruh negara dengan penglibatan 100 buah restoran dan kedai makan.

Di Kota Bharu, katanya, Restoran Sri Cheng Mai Dipilih sebagai lokasi pengagihan kotak makanan yang akan dibuat secara pandu lalu setiap hari dengan melibatkan peruntukan berjumlah RM3,000 sebulan.

“Bantuan nasi bungkus ini diharap dapat membantu meringankan beban golongan terkesan termasuk mereka yang hilang pekerjaan atau punca pendapatan ketika PKP kali ini.

“Penyampaian bantuan ini merupakan program pertama kali dijalankan oleh MSEF dan ia merupakan tanggungjawab sosial kami dalam usaha mengurangkan beban ditanggung rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ditemui pemberita di Program Free Meal yang menggunakan slogan  ‘Lapar Dahaga Sama Dirasai, Makan Minum Sama Dikongsi’ di Restoran Sri Cheng Mai, Jalan Sri Cemerlang, di sini hari ini.

Di Kelantan, agihan nasi bungkus percuma itu dibuat di daerah ini, Tanah Merah, Gua Musang dan Pasir Puteh oleh beberapa restoran terpilih.

Sementara itu, pemilik restoran Sri Cheng Mai, Tan Swim Him berkata, pihaknya menyediakan sebanyak 200 bungkus nasi bernilai RM4 setiap satu untuk diagihkan setiap hari bermula hari ini sehingga akhir Ogos ini.

“Setiap hari ada dua sesi pengagihan, iaitu pukul 11.30 pagi dan pukul 5.30 petang. Kita juga akan berusaha menyediakan lauk-pauk berlainan setiap hari, sama ada ayam, ikan dan daging dengan pelbagai cara masakan.

“Saya berharap bantuan makanan ini sedikit sebanyak melegakan masyarakat kerana kita tahu, ramai sebenarnya yang terkesan terutamanya mereka yang mengalami masalah kewangan akibat PKP yang tidak tamat-tamat,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya