PORT DICKSON: Pengambilan vaksin Covid-19 ADALAH antara ikhtiar yang wajar diambil oleh semua pihak bagi melindungi diri mereka daripada penyakit berkenaan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, pengambilan suntikan vaksin berkenaan dapat menjadikan antibodi individu lebih kuat semasa berhadapan dengan Covid-19.
“Kita berhadapan dengan Covid-19 yang cukup mencabar, angka meningkat, kadangkala pasang surut (turun naik kes) tapi masih lagi pada tahap yang perlu pengawalan sungguh-sungguh.
“Covid-19 itu benar, mati itu benar, penyakit Covid-19 yang membawa kematian itu juga benar. Sewajarnya kita yang masih hidup memerlukan ikhitiar supaya dapat memperkuatkan tubuh badan kita daripada dihinggapi penyakit Covid-19 atau wabak seperti ini,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas melakukan kunjungan ke rumah lima beradik yang menjadi yatim piatu selepas ibu dan bapa mereka meninggal dunia akibat Covid-19 di Bandar Sunggala, di sini, hari ini.
Zulkifli dalam pada itu turut menasihatkan semua pihak untuk mengambil vaksin yang ditawarkan kerajaan.
Ujarnya, langkah itu bukan hanya bagi menjaga diri sendiri, bahkan melindungi khalayak yang lebih besar.
Media sebelum ini melaporkan bahawa kerajaan sedang mengkaji mengenakan tindakan undang-undang ke atas golongan antivaksin di negara ini jika golongan itu didapati menghasut orang ramai daripada menyokong Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan juga meminta Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) mengkaji pelaksanaan program imunisasi secara wajib jika jumlah pendaftaran gagal mencapai sasaran imuniti kelompok. – UTUSAN ONLINE










