PELABUHAN KLANG: Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) akan diperluaskan ke beberapa sektor industri lain termasuk sektor perladangan.
Menteri Penyelaras PICK, Khairy Jamaluddin berkata, untuk itu pihaknya akan mengadakan perbincangan bersama Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi mengenai perkara itu.
“Perbincangan akan diadakan kerana terdapat juga pekerja-pekerja ladang yang keluar bekerja sepanjang pandemik Covid-19 ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Sektor Pengangkutan (Maritim) di Dewan Kelab Sukan Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) di sini hari ini.
Yang turut hadir Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong.
Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi memberitahu, pekerja sektor pembinaan yang masih beroperasi sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) juga akan mula menerima suntikan vaksin Covid-19 bermula 1 Julai ini.
Menurut beliau, pemberian vaksin kepada pekerja pembinaan yang terlibat dalam projek pembinaan essential itu akan diselaraskan oleh pihak Kementerian Kerja Raya.
“Satu lagi sektor penting bagi ekonomi akan kita mulakan vaksinasi pada 1 Julai iaitu sektor pembinaan dan ini akan diselaraskan oleh Kementerian Kerja Raya.
“Kita memberi fokus kepada tapak pembinaan projek essential yang masih beroperasi sewaktu PKP,” katanya.
Beliau menjelaskan, program vaksinasi itu tidak mengambil apa apa daripada program vaksinasi mainstream dan ia berjalan seperti biasa.
“Sehingga semalam, kita berjaya menyuntik seramai 268,604 orang dan selama tiga hari berturut-turut, lebih 200,000 orang telah disuntik secara harian di mana peratusan penduduk yang sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos sudah mencecah 15.1 peratus manakala yang lengkap dua dos (5.8 peratus),” katanya.










