Undang-undang syariah bakal dipinda tangani isu LGBT - Utusan Malaysia

Undang-undang syariah bakal dipinda tangani isu LGBT

AHMAD MARZUK SHAARY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan dijangka meminda undang-undang tatacara jenayah di setiap negeri bagi membolehkan tindakan tegas terhadap orang Islam yang menghina agama tersebut.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, ia termasuk ke atas kelompok Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) di negara ini.

“Langkah ini turut meliputi Akta Tatacara Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 bagi membolehkan penguatkuasaan undang-undang dapat dilaksanakan,” jelasnya selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Pasukan Petugas Menangani Isu LGBT diurusetiakan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di sini hari ini.

Menurutnya, pasukan tersebut diwujudkan selari dengan Pelan Tindakan Sosial Islam yang dipengerusikan sendiri oleh Ketua Pengarah Jakim, Datuk Abdul Aziz Jusoh.

Ahmad Marzuk berkata, cadangan pindaan itu akan meliputi pelaku kesalahan jenayah syariah dengan penggunaan kemudahan rangkaian atau perkhidmatan aplikasi.

“Mesyuarat juga bersetuju mewujudkan prosedur operasi standard (SOP) atau garis panduan bertulis secara komprehensif mengenai tatacara aduan bagi kesalahan tersebut,” tegasnya.

Ini merangkumi kes penghinaan agama dan promosi gaya hidup LGBT selain mengenal pasti masalah dialami penguat kuasa dalam melaksanakan penguatkuasaan secara berintegrasi.

Jelas beliau, pelaksanaan tindakan bersepadu dalam kadar segera itu menunjukkan komitmen penuh pihak kerajaan dalam menangani gejala songsang tersebut khasnya di media sosial.

Ahmad Marzuk menambah, ada pihak tertentu yang didapati memuat naik status atau grafik yang menghina Islam melalui platform siber dalam usaha mempromosikan gaya hidup LGBT.

“Malah laman sosial tertentu tiada tapisan langsung terhadap kandungan paparan video yang berkaitan hubungan sejenis dan disebarkan oleh golongan terbabit,” jelasnya.

Beliau dalam nada kesal merujuk kes seksual terhadap kanak-kanak bawah umur oleh transgender di akaun sosial yang menjurus kepada perlakuan jenayah pedofilia.

Malangnya kata beliau, kes itu tidak pula diperjuangkan oleh kumpulan aktivis LGBT dan menunjukkan mereka bersikap dwistandard cuma memilih isu tertentu yang menguntungkan.

Gerakan itu katanya, turut aktif mempromosikan gaya hidup jelik mereka secara terbuka sepanjang bulan ini yang dianggap ‘Gay Pride Month’ melalui pelbagai wadah media massa.

Antara turut serta dalam mesyuarat tersebut ialah Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Jabatan Peguam Negara serta Polis Diraja Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN