PONTIAN: UMNO menolak jika sidang Parlimen hanya diadakan pada September atau Oktober kerana ia bertentangan dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah agar persidangan itu diadakan secepat yang mungkin.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, titah tersebut perlu diambil serius oleh badan eksekutif negara kerana jika lambat bertindak ia boleh dianggap sebagai krisis Perlembagaan antara raja-raja dengan Perdana Menteri serta barisan Kabinet.
Katanya, negara ketika ini sudah menghadapi tiga krisis iaitu Covid-19, politik dan ekonomi, maka tidak perlu ditambah menjadi empat krisis berkaitan Perlembagaan pula apabila permintaan istana tidak ditunaikan oleh kerajaan.
“Seri Paduka telah bertitah tetapi masih belum ada kata putus oleh pihak kerajaan, kita bimbang kegagalan menunaikan titah tersebut akan mencetuskan krisis Perlembagaan,” katanya ketika ditemui selepas menyertai Kempen Pendaftaran Vaksin bersama Southern Volunteers di sini hari ini.
Tambah Ahmad, kematangan kerajaan negeri Johor di bawah Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad melaksanakan dengan segera titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar untuk melaksanakan perbincangan dengan semua wakil rakyat seharusnya menjadi contoh kepada Kerajaan Persekutuan.
“Dalam tempoh seminggu daripada titah itu, perbincangan tentang membendung penularan Covid-19 diadakan dengan pejabat- pejabat daerah dijadikan pusat bagi perbincangan diadakan dan akhirnya selesai tanpa sebarang masalah.
“Oleh itu dalam konteks titah Yang di-Pertuan Agong ini, bukan sebulan dua untuk dilaksanakan tetapi sewajarnya hanya dalam tempoh seminggu ke dua minggu sahaja,” katanya.
Jelas Ahli Parlimen Pontian itu, kerajaan juga seharusnya mempercepat vaksinasi kepada pegawai dan kakitangan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi membolehkan sidang Parlimen dan DUN secara bersemuka diadakan secepat mungkin.
“Setakat ini, hanya ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri sudah divaksin, bagaimana dengan mereka (kakitangan) bagi membolehkan imuniti kelompok dapat diwujudkan di Parlimen dan DUN,” jelasnya.
Pada 16 Jun lalu, Yang di-Pertuan Agong menzahirkan pandangan supaya sidang Parlimen diadakan secepat mungkin bagi membolehkan Pelan Pemulihan Negara dan pelaksanaan Ordinan Darurat 2021 dibahaskan ahli Dewan Rakyat.
Sehari sebelum itu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi komitmen bahawa sidang Parlimen boleh diadakan dalam Fasa Ketiga Strategi Pelan Pemulihan Negara iaitu sekitar September atau Oktober dengan mengikuti prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.