Tiga saudara jadi sukarelawan ‘angkut’ warga emas

Tiga saudara jadi sukarelawan ‘angkut’ warga emas

RATNA Salsabella menunjukkan poster perkhidmatan pengangkutan percuma disediakannya ditemui di Kelantan Medical Shoes Jalan Telipot, Kota Bharu. - FOTO/ROSLIZA MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Soal wang, masa dan tenaga tolak ke tepi kerana perkara itu tidak pernah diambil kira tiga sukarelawan yang kini ligat ‘mengangkut’ warga emas dari rumah ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) hampir setiap hari.

Ratna Salsabella Ismail, 31, sebaliknya menegaskan, dia bersama abang, Ahmad Firdaus, 37, serta kakak iparnya, Nur Badariah Mohd. Din, 31, tidak mengharapkan balasan apabila mereka memulakan perkhidmatan, sejak tiga minggu lalu.

Mereka bertiga bertugas dengan kereta sendiri seawal pukul 9 pagi setiap hari, kecuali Jumaat dan masing-masing berjaya membantu sekurang-kurangnya tujuh hingga lapan warga emas sehari.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ratna Salsabella atau mesra dipanggil Bella berkata, mereka kini berulang-alik membawa penerima vaksin warga emas di sekitar empat jajahan iaitu Kota Bharu, Bachok, Tumpat dan Pasir Mas.

Destinasi mereka pula membabitkan lima PPV iaitu PPV Lubok Jong, Pasir Mas; PPV Pantai Sri Tujuh, Tumpat; PPV Bachok serta PPV Ketereh dan Tunjong, di sini dengan jarak antara 20 hingga 30 kilometer bagi setiap perjalanan

Menurut Bella, antara syarat wajib dipatuhi, hanya seorang sahaja penumpang dalam satu perjalanan bagi mengelak risiko penularan pandemik.

“Tugas ini mencabar kerana kita sendiri turut terdedah kepada risiko dijangkiti virus Covid-19 jika tidak berhati-hati.

“Sebab itu sebaik sahaja selesai urusan itu, perkara pertama kami lakukan ialah membersihkan diri di pejabat dulu dan sanitasi kereta masing-masing sebelum pulang ke rumah,” katanya ketika ditemui di pejabatnya, Kelantan Medical Shoes, Jalan Telipot, di sini semalam

Bercerita lanjut, Ketua Wanita Muda (Warda) Parti Amanah Negara (Amanah) Kelantan itu memberitahu, beliau terdorong menjadi sukarelawan selepas membaca laporan kira-kira 10,000 individu di Kelantan gagal hadir ke janji temu ditetapkan.

“Selepas bertemu pihak Jabatan Kesihatan negeri, mereka memaklumkan antara faktornya ramai warga emas tiada kenderaan, ditambah pula anak-anak tidak dapat pulang kerana larangan merentas daerah dan negeri ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Jadi kami bertiga bekerjasama dengan pengurusan PPV menawarkan perkhidmatan pengangkutan percuma ini dengan cara menguar-uarkan menerusi laman sosial serta poster yang tertera nombor telefon kami,” katanya.

Tidak dinafikan ada yang memperlekeh usaha atau mempertikai keikhlasan mereka bertiga, namun kata Bella, pesanan arwah bapa yang meninggal dunia pada 2019 dipegang erat setiap kali moral dan emosinya diuji.

“Arwah pesan jangan sekali-kali bertangguh dalam membuat kebaikan. Saya pegang kata-kata itu dan segala kerja-kerja amal ini saya niatkan sebagai satu bentuk sedekah kepada arwah di sana,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya