PETALING JAYA: Kegiatan satu sindiket menawarkan penjualan vaksin Covid-19 dengan harga RM420 bagi dua dos suntikan terbongkar selepas tiga individu ditahan Polis Kuala Lumpur di sini hari ini.
Penahanan kesemua suspek yang ditahan terdiri dua wanita dan seorang lelaki tempatan berusia 25 sehingga 50 tahun itu dilakukan di sekitar Putrajaya dan Brieckfield dekat sini.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, pihaknya pada mulanya telah menerima satu laporan polis dibuat oleh seorang Pegawai Penyelidik di Badan Bertindak Covid-19 Kebangsaan (CITF) yang mendapat maklumat mengenai aktiviti penjualan vaksin.
Jelas beliau, susulan itu, satu serbuan dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Bukit Aman sebelum menahan kesemua suspek yang bekerja sebagai pegawai pemasaran di syarikat swasta.
“Hasil serbuan itu, kita turut merampas enam buah telefon bimbit dan beberapa dokumen berkaitan penjualan vaksin tersebut.
“Susulan itu, kesemua suspek kini direman bermula hari ini sehingga 26 Jun ini dibawah Seksyen 17 Kanun Prosedur Jenayah bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 420 dan Seksyen 511 Kanun Keseksaan kerana cubaan tipu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Azmi berkata, modus operandi yang digunakan sindiket ini adalah dengan menghubungi orang awam melalui telefon secara rawak sebelum mereka menawarkan suntikan vaksin Covid-19 dengan bayaran RM420 bagi dua dos.
Katanya, Ketua Sekretariat CITF Persekutuan telah mengesahkan bahawa Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin (JKJAV) tidak memberi kelulusan kepada mana-mana pihak menjual vaksin Covid-19.
“Justeru orang ramai dinasihati supaya tidak menerima tawaran dari mana-mana pihak yang menjual vaksin Covid-19.
“Sekiranya orang ramai masih mempunyai maklumat mengenai aktiviti penjualan ini diminta menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau sekretariat CITF, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi) di talian 03-8893 4303 atau 03-8893 4304,” jelasnya.