Tiada had gaji syarat mohon Program Subsidi Upah - Utusan Malaysia

Tiada had gaji syarat mohon Program Subsidi Upah

SEJAK PSU diperkenalkan, kerajaan telah membelanjakan lebih RM15 bilion bagi membantu majikan membayar gaji kepada sekitar 2.7 juta pekerja. – GAMBAR HIASAN/ SUMBER INTERNET
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan bersetuju untuk melaksanakan Program Subsidi Upah (PSU) 4.0 dengan peruntukan sebanyak RM3.8 bilion yang dijangka memanfaatkan lebih 2.5 juta pekerja.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sejak PSU diperkenalkan, kerajaan telah membelanjakan lebih RM15 bilion bagi membantu majikan membayar gaji kepada sekitar 2.7 juta pekerja.

Menurut beliau, melalui inisiatif PSU 4.0, kerajaan akan menampung sehingga 500 pekerja bagi setiap majikan dengan kadar sebanyak RM600 setiap pekerja selama tempoh empat bulan, iaitu dua bulan bagi semua sektor dalam fasa kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN), dan dua bulan seterusnya khusus bagi sektor-sektor yang dikategorikan dalam senarai negatif semasa tempoh fasa ketiga nanti.

“Jika sebelum ini, pelaksanaan PSU disyaratkan dengan had gaji di bawah RM 4,000, sukacita saya umumkan bahawa di bawah PSU 4.0, tiada lagi syarat had gaji ditetapkan. Ini bermakna, majikan boleh memohon PSU 4.0 bagi pekerjanya yang bergaji lebih RM4,000.

“Selanjutnya, pengecualian levi HRD Corp bagi tempoh dua bulan akan diberi secara automatik kepada majikan yang tidak dapat beroperasi semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya dalam perutusan khas pengumuman bantuan itu, hari ini.

Muhyiddin berkata, selain itu, majikan daripada sektor-sektor yang baharu dirangkumi ekoran peluasan Akta Perbadanan Sumber Manusia Berhad 2001 akan diberikan pelanjutan pengecualian levi sehingga 31 Disember 2021 yang dianggarkan bernilai sebanyak RM425 juta. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN