HULU TERENGGANU: Tempias hujan hingga tilam basah sepanjang malam merupakan suasana biasa buat enam beranak yang menghuni rumah rakit di Tasik Kenyir di sini, sejak 12 tahun lalu.
Nor Farhana Yusop, 30, berkata, kadangkala tilam nipis yang menjadi alas tidur mereka tidak sempat kering sepenuhnya berikutan keadaan cuaca buruk terutama pada musim tengkujuh.
Katanya, walaupun serba mencabar, namun mereka kini semakin sebati dengan kehidupan di rumah rakit berbanding di darat.
Menurutnya, dia mula menetap di kediaman rakit itu sejak berkahwin dengan suami, Shamsuddin Khalid, 45, yang mengusahakan rumah bot di destinasi pelancongan berkenaan.
“Rutin harian sama seperti ibu lain, saya bangun pagi dan menghantar anak ke sekolah semasa sesi secara bersemuka dan membantu mereka dalam pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) di samping memasak.
“Paling mencabar tentunya semasa musim tengkujuh apabila rumah kami terkena tempias hujan dan atap bocor hingga tilam dan selimut basah,” katanya ketika ditemui semalam.
Nor Farhana berkata, mereka sekeluarga bersama empat anak bagaimanapun berpindah ke rumah bot milik suaminya sejak tahun lalu.
Katanya, rumah rakit yang sempit itu hanya mempunyai satu bilik dan kini mereka lebih selesa di kediaman baharu walaupun dalam keadaan serba kekurangan.
“Rumah bot ini lebih luas untuk anak-anak kami Nor Nadia Shahira Shamsuddin, 11; Nor Syazlina Farahin, 9; Nor Azura Natasha, 7; di samping Nor Farhan Iskandar, 8 bulan,” katanya.
Dalam pada itu, Shamsuddin berkata, dia memilih membawa keluarganya ke rumah rakit itu kerana berdekatan dengan lokasi tempat kerjanya.
Katanya, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 rumah bot miliknya terkandas tidak dapat beroperasi kerana kerosakan enjin.
“Saya berharap Covid-19 cepat berakhir supaya sektor pelancongan dapat beroperasi semula dan rumah bot dapat dibaiki bagi membolehkan saya menyara kehidupan keluarga,” katanya.