HULU TERENGGANU: Terengganu bersedia mengadakan sidang Dewan Undangan negeri (DUN) dan perbincangan mengenainya akan dibuat dalam masa terdekat.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, ketika ini pihaknya masih menunggu makluman Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan berhubung kaedah terbaik bagi melaksanakan sidang berkenaan.
“Apabila kita sudah mendapat kepastian daripada MKN dan Kementerian Kesihatan, barulah kita akan menetapkan tarikh yang sesuai.
“Bagaimanapun, dalam masa terdekat saya akan mengadakan perbincangan dengan Yang Dipertua DUN, Datuk Yahaya Ali mengenai perkara itu,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat pusat pemberian vaksin (PPV) Kuala Berang di sini hari ini.
Baru-baru ini Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan pandangan bahawa Parlimen perlu segera bersidang terutama bagi membincangkan usaha memerangi penularan Covid-19 dan pelaksanaannya semasa tempoh darurat.










