GUA MUSANG: Selepas ancaman beruang dan harimau minggu lalu, peneroka Felda Perasu, di sini digemparkan pula dengan kehadiran gajah liar yang memusnahkan pokok kelapa sawit mereka.
Keadaan itu menyebabkan kira-kira 300 peneroka di situ takut untuk ke ladang kerana bimbang gajah liar terbabit masih berkeliaran di kawasan itu untuk mencari makan.
Peneroka, Wan Deraman Wan Ahmad, 83, berkata, dalam kejadian terkini pukul 6 pagi ini, 10 pokok kelapa sawit miliknya yang ditanam lebih tiga tahun lalu dirosakkan gajah terbabit.
Katanya, dia bergegas ke kawasan ladang selepas dimaklumkan oleh peneroka lain tentang kejadian itu.
“Kami menanggung kerugian ribuan ringgit dan hanya mampu melihat pelbagai tanaman diusahakan seperti getah dan kelapa sawit yang sudah boleh dijual tetapi dimusnahkan haiwan liar berkenaan.
“Kami berdepan ancaman keselamatan kerana sering melihat kelibat gajah dan anaknya berkeliaran di ladang dan di kolam terbiar pada sebelah pagi sehingga mengganggu rutin kami mengait dan memunggah sawit,” katanya.
Seorang lagi peneroka, Che Azizah Yunus, 60, pula berkata, ini merupakan kali ketiga dalam bulan ini mereka diuji selepas beruang dan harimau menyerang pokok buah-buahan serta binatang ternakan di kawasan ladang.
Katanya, masalah pencerobohan haiwan liar sebelum ini pernah dimaklumkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) namun tiada penyelesaian sehingga sekarang.
“Kami berharap anggota perhilitan bertindak lebih agresif sama ada menghalau binatang liar berkenaan atau menangkapnya.
“Jika kami mengambil tindakan sendiri menghalau atau menangkap binatang itu, kami pula dianggap melakukan kesalahan, tetapi kerugian hasil tanaman kami ini siapa nak ganti?” soalnya.