SHAH ALAM: Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menafikan sektor pembuatan dan perkilangan menyumbang kepada peningkatan kes positif Covid-19.
Beliau berkata, kes positif Covid-19 melibatkan sektor tersebut hanya melibatkan lima hingga 10 peratus.
“Ini berdasarkan data yang dibekalkan Kementerian Kesihatan terhadap kluster-kluster yang wujud setiap hari. Jadi, tidak benar untuk meletakkan kesalahan kepada sektor ekonomi khususnya pembuatan.
“Sudah tentu, apabila membenarkan sektor ekonomi beroperasi, kebarangkalian kes itu berlaku juga wujud. Ini tidak seperti sektor pendidikan dan sosial yang telah ditutup sepenuhnya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melawat pusat pemberian vaksin (PPV) Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam-Swasta (Pikas) di Pusat Konvensyen Setia City di sini hari ini.
Beliau mengulas desakan ramai pihak supaya kilang ditutup kerana terus mencetuskan kluster yang menyumbang peningkatan kes Covid-19 ketika ini.
Mohamed Azmin berkata, kelonggaran atau kebenaran aktiviti sektor ekonomi bersifat perkhidmatan perlu, adalah untuk melindungi dan menjaga kesejahteraan ekonomi rakyat khususnya Malaysia sebagai sebuah negara yang terlibat dalam rantaian bekalan global.
Katanya, data Kementerian Kesihatan menunjukkan 75 peratus kes positif ketika ini adalah bersifat sporadik yang bermakna virus Covid-19 telah berada dalam komuniti.
“Justeru, kita meminta pihak majikan terus memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) selain meningkatkan ujian saringan secara berkala susulan kes positif tidak menunjukkan gejala,” jelasnya.
Dalam perkembangan berlainan, beliau memberitahu, berdasarkan Jabatan Statistik Negara pada suku pertama tahun ini, terdapat 2.4 juta tenaga kerja sektor pembuatan dan perkilangan.
Difahamkan seramai 16,564 pekerja telah menerima suntikan di tiga buah negeri iaitu Pulau Pinang, Johor dan Selangor yang melaksanakan Pikas dalam tempoh 16 Jun hingga semalam.
“Memang ada sedikit cabaran pada Jun ini namun mengikut perancangan dan dibentangkan akan stabil pada Julai dan seterusnya.
“Kita telah mendapat jaminan bekalan vaksin sebanyak 150,000 dos akan disempurnakan pada pertengahan Julai. Kita minta kerjasama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi mendapatkan bekalan tambahan pada bulan depan dan Ogos masing-masing 600,000 dan September 795,000 dos,” katanya.