'Saya juga pernah merasai kesusahan hidup' - Utusan Malaysia

‘Saya juga pernah merasai kesusahan hidup’

IBRAHIM Abd. Rahim yang berniaga pelbagai jenis minuman di gerainya di Teluk Bahang, Pulau Pinang akan menyumbangkan 20 peratus hasil jualannya setiap Jumaat untuk membantu golongan yang memerlukan bantuan ketika pandemik Covid-19.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SBALIK PULAU: Seorang peniaga minuman, Ibrahim Abd Rahim, 39, mengambil inisiatif menggerakkan tabung bantuan Covid-19 bagi berkongsi rezeki dengan golongan yang memerlukan terutama mereka yang terputus bekalan makanan.

Ibrahim yang membuka gerai minuman di Teluk Bahang yang dikenali sebagai Baen Cafe Ayaq Gajah berkata, pada setiap Jumaat sebanyak 20 peratus hasil jualan pelbagai jenis air di gerainya itu akan disalurkan ke tabung berkenaan.

Katanya, menerusi hasil sumbangan daripada tabung berkenaan, dia akan membeli barang keperluan asas seperti beras, sardin, susu dan sebagainya untuk disalurkan kepada golongan yang memerlukan.

“Saya terpanggil untuk membuka tabung bantuan Covid-19 ini selepas mendengar keluhan pelanggan dan orang ramai yang terputus mata pencarian akibat pandemik ini.

“Jadi saya terfikir, apa salahnya untuk saya dan mereka yang membeli air di gerai ini sama-sama menyumbang ketika waktu sukar ini,” katanya di sini hari ini.

Menurut Ibrahim, dia juga pernah merasai kesukaran hidup ketika pandemik Covid-19 melanda pada Mac tahun lalu di mana dia terpaksa menutup kedai menjual makanan yang diusahakannya selama 15 tahun.

“Saya beralih menjual minuman bersaiz besar yang dikenali sebagai air gajah selepas terpaksa menutup operasi kedai makanan tahun lalu.

“Saya faham keadaan mereka yang terputus bekalan makanan kerana pernah melalui kesukaran begitu, jadi disebabkan itu saya mahu berkongsi rezeki dengan mereka yang memerlukan menerusi tabung ini,” katanya.

Dalam pada itu, seorang pelanggan, Muhamad Iqbal Salim, 25, berkata, dia tidak melepaskan peluang untuk turut sama menyumbang kepada tabung bantuan Covid-19 itu melalui pembelian air di gerai berkenaan.

“Saya kerap membeli air di sini kerana harganya yang berpatutan dan dibungkus dalam plastik yang besar.

“Sumbangan menerusi pembelian air di gerai ini diharapkan dapat membantu golongan yang memerlukan bantuan makanan ketika pandemik Covid-19 ini,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN