'Rumah saya hanya tinggal struktur bangunan, atap sudah tiada' - Utusan Malaysia

‘Rumah saya hanya tinggal struktur bangunan, atap sudah tiada’

CHE Zakaria Mohd. Salleh (dua kiri) meninjau keadaan sebuah rumah yang sedang dibaiki setelah rosak akibat dipukul ribut di Kampung Plentong Baru, Pasir Gudang di Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR GUDANG: Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Permas akan menanggung kos membaiki kerosakan 20 buah rumah yang dilanda ribut di Kampung Plentong Baru dan Jalan Permas 1/1, Pemas Jaya, di sini dalam kejadian Ahad lalu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas, Datuk Seri Che Zakaria Mohd. Salleh berkata, proses penilaian kerosakan setiap rumah sedang dibuat kerana kerosakan berbeza yang dialami termasuk kediaman yang bahagian bumbungnya diterbangkan ribut.

“Terdapat pemilik rumah yang sudah membaikinya dengan perbelanjaan sendiri selain menerusi sumbangan atap daripada penduduk setempat, mereka bimbang air akan masuk kerana kebelakangan ini sering hujan lebat.

“Bagi pemilik rumah yang sudah membaiki kerosakan sendiri kita akan bayar kos mereka. Kita bantu mangsa ribut ini kerana rata-rata mereka adalah golongan B40, malah ada yang tidak dapat bekerja ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau dan menyampaikan sumbangan barang keperluan asas kepada mangsa ribut dan penduduk B40 di Kampung Plentong Baru di sini hari ini.

Ahad lalu, kira-kira 20 rumah di kawasan berkenaan dipukul ribut hingga mengakibatkan pelbagai kerosakan termasuklah bumbung rumah tercabut akibat angin kencang.

Sementara itu, salah seorang mangsa, Samsul Salim, 37, berkata, angin kuat menerbangkan lebih 10 keping atap rumahnya, manakala serpihan struktur itu terkena bahagian lain hingga menyebabkan kerosakan lebih banyak.

“Saya mengambil inisiatif sendiri dengan memasang atap baharu semalam kerana bimbang sekarang ini musim hujan. Atap-atap ini disumbangkan rakan dan penduduk kampung yang mempunyai atap lebih.

“Semasa kejadian saya dan lima lagi ahli keluarga hanya bertawakal sambil berlindung dalam rumah dengan keadaan angin kencang, hujan lebat dan bunyi petir yang kuat,” katanya.

Seorang lagi mangsa ribut, Mohd. Isa Ahmad, 59, pula memberitahu, rumahnya paling teruk dipukul ribut apabila hampir semua atap diterbangkan dan menyifatkan kejadian itu paling buruk sejak menetap di situ lebih 30 tahun lalu.

“Semasa kejadian saya bersama isteri dan dua anak perempuan berada di rumah ibu mertua di Kampung Air Putih, Kota Tinggi sebelum bergegas pulang ke rumah sebaik dimaklumkan jiran.

“Saya terkejut apabila mendapati rumah saya hanya tinggal struktur bangunan manakala bahagian atap sudah tidak ada. Malam itu saya pulang seorang diri dan tidur berbumbungkan langit, mujur tidak hujan,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN