Remaja 18 tahun antara ditahan seludup rokok RM8 juta - Utusan Malaysia

Remaja 18 tahun antara ditahan seludup rokok RM8 juta

SAHABUDIN Abd. Manan (kiri) menunjukkan sebahagian daripada rokok tidak bercukai yang dirampas di IPD SPT, Bukit Mertajam, Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM: Lebih empat juta batang rokok putih dan 691,200 batang rokok kretek tidak bercukai pelbagai jenama yang dianggarkan bernilai RM7.8 juta dirampas dalam tiga serbuan berasingan di sini Sabtu lalu.

Serbuan yang bermula kira-kira pukul 10.30 pagi hingga 12 tengah hari menerusi Op Kontraban itu dilakukan di dua buah kediaman yang dijadikan tempat simpanan rokok tersebut di Machang Bubok dan Bukit Tengah di sini.

Ketua Polis negeri, Datuk Sahabudin Abd. Manan berkata, intipan dilakukan seawal 5 pagi sebelum serbuan dijalankan sepasukan anggota Bahagian Khas (D8) dan Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang dengan kerjasama Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah.

Katanya, dalam serbuan itu polis turut menahan 12 suspek warga tempatan selain menyita sembilan buah kenderaan yang dianggarkan bernilai RM236,000 dengan keseluruhan rampasan kira-kira RM8.04 juta.

Sahabudin memberitahu, siasatan awal mendapati sindiket rokok tidak bercukai itu telah beroperasi sejak empat bulan lalu dengan memfokuskan kawasan utara sebagai lokasi pengedaran.

“Polis masih lagi menyiasat bagaimana sindiket tersebut beroperasi selain beberapa kemungkinan lain yang dapat membantu melengkapkan siasatan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut beliau, kesemua suspek yang berusia antara 18 hingga 38 tahun itu direman di bawah Seksyen 116 Akta Kastam untuk siasatan lanjut dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Katanya, sabit kesalahan mereka boleh dihukum di bawah Seksyen 135(1)(v)(aa) akta yang sama iaitu denda minimum tidak kurang 10 kali nilai barangan atau RM100,000 mengikut mana yang lebih tinggi dan denda maksimum tidak lebih 20 kali nilai barang atau RM500,000, mana lebih tinggi atau penjara antara enam bulan hingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Tambah beliau, mereka juga boleh didakwa di bawah Peraturan 4(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (No.3) 2021 yang boleh dikenakan kompaun dengan magnitud bernilai RM5,000.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN