RM78,000 lesap ditipu rakan Facebook - Utusan Malaysia

RM78,000 lesap ditipu rakan Facebook

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seorang ibu tunggal terpaksa berputih mata apabila wang simpanannya bernilai RM78,214 lesap ditipu, gara-gara mempercayai seorang lelaki yang baru dikenalinya melalui laman sosial Facebook.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Melaka, Superintenden E. Sundra Rajan berkata, lelaki berkenaan dikatakan mahu menghantar bungkusan hadiah seperti barang kemas kepada mangsa sebagai tanda perkenalan.

Katanya, mangsa kemudian menerima panggilan telefon yang mendakwa dari syarikat Elite Clear.

“Individu itu menyatakan bahawa bungkusan dari kenalan mangsa telah sampai dan memintanya membuat bayaran bagi menuntut bungkusan tersebut.

“Pada 28 Mei sehingga 8 Jun lalu, mangsa yang berusia 49 tahun tanpa berasa curiga membuat bayaran secara berperingkat berjumlah RM78,214 ke dalam tiga akaun bank atas pelbagai alasan seperti bayaran cukai kastam,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Menurut Sundra Rajan, selepas pembayaran dibuat, suspek bagaimanapun masih meminta wang namun tidak diikuti mangsa kerana menyedari telah ditipu jenayah penipuan bungkusan tidak wujud.    

Ujarnya, mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Alor Gajah, semalam dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

“JSJK Melaka meminta supaya orang ramai sentiasa berhati-hati dan jangan mudah terjerat dengan cinta melalui laman sosial,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN