Remaja menunggang secara bahaya, pamer aksi 'wheelie' serah diri - Utusan Malaysia

Remaja menunggang secara bahaya, pamer aksi ‘wheelie’ serah diri

SEBAHAGIAN penunggang motosikal yang ditahan dalam Operasi Samseng Jalanan di laluan utama Jalan Bukit Setongkol di Kuantan, Pahang. - IHSAN IPD KUANTAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Seorang remaja bawah umur yang melarikan diri dalam Operasi Samseng Jalanan, semalam atas kesalahan menunggang motosikal secara berbahaya ditahan selepas hadir menyerah diri di Balai Polis Trafik Daerah di sini hari ini.

Remaja berusia 16 tahun itu menunggang motosikal sambil berdiri dengan mempamerkan aksi ‘wheelie’ di Jalan Bukit Setongkol, dekat sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, remaja berkenaan melarikan diri dalam operasi yang dibuat sehingga pukul 10 malam itu.

“Namun remaja itu hadir ke balai kira-kira pukul 10.30 pagi tadi untuk menyerah diri dan pihak polis menahannya di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 untuk siasatan lanjut.

“Selain itu, remaja itu turut dikompaun RM1,500 di bawah Peraturan 17(1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342) 1988,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohamad Noor berkata, hasil operasi Ops Samseng Jalanan itu polis telah mengeluarkan 70 saman atas pelbagai kesalahan.

“Daripada 38 motosikal diperiksa, empat disita atas kesalahan ubah suai ekzos dan struktur kenderaan.

“Dalam operasi sama polis turut menjalankan pemeriksaan bagi mengesan kenderaan curi dan beberapa individu dikehendaki namun masih tiada kes yang dapat dikesan,” katanya.

Sementara itu, beliau menasihatkan orang ramai termasuk remaja di bawah umur agar tidak terlibat dalam kegiatan samseng jalanan.

“Pihak polis ingin memberi amaran agar tidak melakukan aksi bahaya ketika menunggang kerana perbuatan itu boleh membahayakan diri sendiri dan pengguna jalan yang lain.

“Ibu bapa dan penjaga juga dinasihatkan lebih bertanggungjawab dengan mengawasi anak masing-masing supaya tidak terlibat dengan aktiviti tidak berfaedah.

“Mereka yang didapati melakukan kesalahan ini, bukan sahaja disaman malah dikompaun kerana melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN