Reda, sabar walaupun tidak dapat tunaikan haji - Utusan Malaysia

Reda, sabar walaupun tidak dapat tunaikan haji

ANHAR OPIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Timbalan Mufti Selangor, Datuk Dr. Anhar Opir meminta umat Islam mengambil sikap reda dan sabar meskipun tidak dapat menunaikan haji tahun ini akibat pandemik Covid-19 yang masih berlarutan.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Penasihat Ibadat Haji Tabung Haji (TH) – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengakui keputusan kerajaan Arab Saudi untuk menangguhkan ibadah haji kepada semua warga di luar negara tahun ini memberi kesan kepada jemaah.

Bagaimanapun, beliau yakin ada hikmah di sebalik penangguhan haji buat kali kedua selepas ditangguhkan pada tahun lalu.

“Sekiranya difikir secara mendalam, penangguhan ibadat haji ini adalah satu keputusan yang wajar kerana pandemik Covid-19 boleh mengancam nyawa jutaan jemaah haji dari seluruh dunia disebabkan kesesakan semasa menunaikan haji.

“Kewajipan dan perlaksanaaan ibadat haji sepertimana yang kita maklum bergantung pada syarat Istito’ah (kemampuan) yang meliputi aspek kesihatan, kewangan, keselamatan dan kebenaran atau kuota yang diperuntukkan kepada setiap negara,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Namun, Anhar berkata, masih terdapat pertembungan pendapat tentang apa yang perlu diutamakan antara kemestian melaksanakan Rukun Islam atau mencegah kemudaratan semasa melaksanakan ibadah.

Ini kerana, katanya, dalam lima dhoruriyat Maqasid Syariah, menjaga agama (Hifzu al Deen) adalah lebih tinggi atau utama daripada menjaga nyawa (Hifzu al Nafs).

“Oleh itu, ada yang berpandangan menunaikan ibadat haji lebih utama daripada mencegah kemudaratan. Namun, kita perlu meneliti dengan lebih mendalam apakah menunaikan ibadat haji termasuk dalam pengertian Hifzu al Deen yang terkandung dalam Maqasid Syariah tersebut.

“Menjaga nyawa adalah sangat penting selaras dengan surah Al-Baqarah ayat 195. Islam secara jelas mengutamakan pencegahan keburukan terutama yang melibatkan nyawa manusia,” katanya.

Tambahnya, kerajaan tidak seharusnya mendedahkan jemaah haji kepada kemudaratan wabak Covid-19 yang akan memberi kesan bukan sahaja kepada kesihatan dan keselamatan para jemaah haji malah kepada ahli keluarga dan mungkin mewujudkan kluster baharu.

“Justeru, umat Islam perlu reda dan terus bersabar dengan penangguhan ibadat haji pada tahun ini. Bagi warga emas pula, jika ditakdirkan tidak berkesempatan untuk menyempurnakan ibadat haji disebabkan syarat umur yang ditetapkan oleh kerajaan Arab Saudi, maka Islam menyediakan ruang untuk mereka melaksanakannya secara Badal Haji iaitu menerusi pihak lain sekiranya mereka berkemampuan dari segi kewangan.

“Bagi bakal haji yang tidak dapat menunaikan haji pada tahun ini, janganlah khuatir kerana niat yang baik untuk mengerjakan ibadah haji tetap akan mendapat ganjaran di sisi Allah SWT,” katanya.

Jelasnya lagi, halangan yang menyebabkan jemaah haji luar dari Arab Saudi tidak boleh menunaikan haji pada tahun ini dan tahun lalu bukanlah sesuatu yang dapat dielakkan dan diminta oleh sesiapa. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya