TELUK INTAN: Peniaga makanan di sini lega kerana akhirnya dibenarkan berniaga seawal pukul 6 pagi semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berbanding pukul 8 pagi sebelum ini.
Peniaga yang ditemui berkata, operasi perniagaan yang dibuka lebih awal bukan sahaja memberikan pendapatan yang lebih kepada mereka tetapi juga memudahkan pelanggan untuk membeli sarapan sebelum mereka ke tempat kerja.
Penjual nasi lemak dan kuih, Siti Khadijah Harun, 57, berkata, pengumuman kerajaan yang membenarkan premis kedai makan dan restoran beroperasi semula dari 6 pagi sememangnya melegakan peniaga sepertinya.
Katanya, ini kerana jika perniagaan lewat dibuka iaitu mulai pukul 8 pagi, ia menyukarkan pelanggan untuk membeli sarapan.
“Sebelum ini, perniagaan yang bermula pukul 8 pagi agak kurang pelanggan, lengang, mungkin disebabkan mereka ke tempat kerja lebih awal dan tak sempat menunggu sehingga perniagaan dibuka.
“Namun apabila peniaga dibenarkan beroperasi seawal 6 pagi, jumlah pelanggan meningkat, ramai yang beratur kerana mereka dapat membeli sarapan lebih awal malah ada yang menunggu lebih awal untuk gerai dibuka.
“Dalam pukul 9.30 pagi, jualan sudah hampir habis,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.
Menurutnya, dia berterima kasih kepada kerajaan yang prihatin dan mendengar keluhan peniaga kecil sepertinya yang terjejas pendapatan apabila tidak dibenarkan membuka perniagaan lebih awal.
Kelmarin, kerajaan mengumumkan bermula hari ini, premis kedai makan dan restoran dibenarkan untuk beroperasi semula dari 6 pagi hingga 10 malam.
Menurut Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) bersetuju menukar waktu operasi yang sebelum ini hanya dibenarkan bermula pukul 8 pagi hingga 8 malam.










