Pusat pengumpulan barangan dibuka bantu golongan susah

Pusat pengumpulan barangan dibuka bantu golongan susah

MOHD. Yusof Ismail (dua dari kiri) bersama sebahagian daripada barangan makanan yang disumbangkan orang ramai selepas pelancaran Pusat Pengumpulan Barangan Covid-19 di Alor Setar, hari ini. - FOTO/MOHD. RAFIE AZIMI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Pusat Pengumpulan Barangan Covid-19 yang dibuka oleh UMNO Bahagian Alor Setar berjaya mengumpulkan lebih 10 tan barangan makanan untuk disumbangkan kepada golongan memerlukan selepas dua jam dilancarkan di sini, hari ini.

Ketua UMNO Bahagian Alor Setar, Datuk Mohd. Yusof Ismail berkata, usaha tersebut dijalankan bagi menjadi platform kepada orang ramai yang ingin memberi sumbangan bagi membantu meringankan beban penduduk di daerah ini yang terkesan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekarang.

Menurutnya, setakat ini terdapat dua pusat pengumpulan disediakan iaitu di Pasar Raya TSB di Jalan Pumpong dan Jalan Pegawai di sini.

“Sebanyak 10 jenis barangan makanan yang diperlukan dalam menjayakan program tersebut iaitu beras, sardin, minyak masak, rempah kari, gula, biskut, mi segera, bihun, tepung gandum serta kopi atau teh. 

“Kesemua barangan ini kemudiannya akan dipek dalam nilai RM50 oleh pihak pasar raya tersebut sebelum kita agihkan kepada keluarga memerlukan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Pusat Pengumpulan Barangan Covid-19 di Pasar Raya TSB, Jalan Pumpong di sini, hari ini.

Mohd. Yusof berkata, selain individu dan syarikat, sumbangan barangan makanan itu turut diterima dari Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) Kehormat Negeri Kedah yang turut membuat kutipan dalam kalangan ahlinya.

Mohd. Yusof menambah, ketika ini beberapa lagi pasar raya dalam daerah ini turut berminat untuk menawarkan ruang di premis mereka bagi dijadikan pusat pengumpulan barangan tersebut.

“Saya menjangkakan tidak lama lagi kita akan mempunyai hingga 10 premis yang menjadi lokasi pengumpulan barang-barang keperluan tersebut,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya