SEPANG : Polis akan melakukan pemeriksaan dari rumah ke rumah di Taman Murni, di sini bagi mengemas kini data bilangan penduduk kerana mengesyaki ada penduduk ‘hilang’ berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di taman berkenaan bermula tengah malam tadi.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, penugasan tiga pasukan terus digerakkan bagi mengumpul data penduduk di taman berkenaan mulai hari ini.
Beliau berkata, seramai 44 pegawai dan anggota polis ditempatkan di kawasan berkenaan yang bertugas mengikut tiga syif di empat pos kawalan Taman Murni.
“Dalam pada itu, polis turut memohon bantuan daripada Jabatan Sukarelawan bagi membantu melakukan pemantauan sepanjang tempoh PKPD di taman tersebut,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Kelmarin, kawad besi dengan panjang 600 meter siap dipasang Angkatan Tentera Malaysia yang diutamakan di bahagian hadapan jalan besar taman memandangkan kiri dan kanan taman terdapat paya dan Sungai Sepang melibatkan perimeter keseluruhan taman 3.25 kilometer.
Terdahulu, sebanyak 80 kes positif jangkitan Covid-19 dikesan di Taman Murni, di sini seterusnya menyebabkan PKPD dilaksanakan di taman tersebut tengah malam tadi.
Perintah PKPD itu membabitkan 2,000 penduduk daripada 520 keluarga yang menghuni taman itu.
Sebanyak 65 peratus penduduk membabitkan masyarakat India, Melayu (35 peratus) dan Cina (25 peratus) di taman berkenaan bekerja di pusat kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Sepang, syarikat industri di Nilai dan Bandar Baru Salak Tinggi serta bekerja sendiri. – UTUSAN ONLINE