MELAKA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka berjaya menumpaskan sindiket penyelewengan tong gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi membabitkan nilai rampasan berjumlah RM40,000, semalam.
Dalam serbuan kira-kira pukul 7 malam itu, sepasukan anggota penguat kuasa menyerbu sebuah stor di Malim Jaya di sini dan menahan tiga lelaki warga Myanmar berusia 23 dan 24 tahun dipercayai pekerja di premis tersebut.
Pengarah Kementerian Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka, Dr. Mohd. Hazimin Jamaludin berkata, ketika serbuan semua individu terbabit sedang melakukan proses pemindahan gas bersubsidi 14 kilogram (kg) ke dalam tong gas industri 50 kg.
“Pemeriksaan lanjut menemukan sebanyak 107 tong LPG 14 kg pelbagai jenama, 59 tong LPG 50 kg dan 20 unit hos getah. Premis ini dipercayai beroperasi sejak sebulan lalu dan waktu operasi sindiket adalah pukul 7 malam hingga awal pagi bagi mengelakkan kegiatan mereka dikesan.
“Mereka menggunakan hos penyambung yang direka khas tanpa kebenaran bersama cerek, air panas dan ais dipercayai untuk mempercepatkan proses pemindahan gas. Tindakan ini sangat berbahaya kerana tidak mematuhi aspek keselamatan selain dibimbangi berlakunya letupan besar,” katanya pada sidang akhbar Op Gasak 2025 di sini, hari ini.
Tambah Mohd. Hazimin, siasatan lanjut sedang dilakukan bagi mengesan pembeli tong gas industri berkenaan.
Menurutnya, KPDN Melaka tidak menolak kemungkinan terdapat kilang dan hotel di Melaka yang menjadi pelanggan sindiket demi menjimatkan kos operasi perniagaan.
“Kita percaya tong gas industri ini dijual untuk pasaran Melaka kerana jumlah rampasan bukan dalam skala yang besar. Kita masih menyiasat dari mana tong gas 14 kg bersubsidi ini dibeli dan ke mana tong gas industri 50 kg ini dihantar.
“Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961,” ujarnya. – UTUSAN










