Imigresen tahan 171 warga asing di Jalan Masjid India

Imigresen tahan 171 warga asing di Jalan Masjid India

Warga India, Bangladesh dan Indonesia yang didapati melakukan pelbagai kesalahan imigresen termasuk ada yang bekerja secara tidak sah di premis sekitar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seramai 171 warga asing ditahan dalam operasi inspektorat dan penguatkuasaan Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) di sekitar Jalan Masjid India di sini hari ini. 

Operasi khas melibatkan 160 anggota dan pegawai Imigresen Putrajaya yang bermula 12 tengah hari itu menyasarkan premis-premis sekitar lokasi berikutan aduan awam berkaitan penggajian pekerja asing tanpa dokumen sah.

Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Imigresen, Basri Othman berkata, sebanyak 14 premis diperiksa dan 758 warga asing turut disaring dalam operasi tersebut.

“Katanya, seramai 171 individu ditahan selepas didapati melakukan pelbagai kesalahan imigresen.

“Mereka yang ditahan terdiri daripada warga India, Bangladesh dan Indonesia yang didapati melakukan pelbagai kesalahan imigresen termasuk ada yang bekerja secara tidak sah di premis sekitar.

“Antara kesalahan yang dikesan termasuk tidak memiliki dokumen perjalanan sah, tiada pas kerja, dan gagal menunjukkan dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam sidang akhbar di lokasi serbuan di sini hari ini.

Menurutnya, ketika pemeriksaan dijalankan, terdapat warga asing yang bertindak agresif selain cuba melarikan diri dan melakukan provokasi bagi mengganggu tugas anggota dan pegawai bertugas.

“Malah ada yang menyamar sebagai pelanggan kedai, namun apabila dijalankan pemeriksaan, mereka sebenarnya merupakan pekerja di premis perniagaan terbabit.

“Operasi terbabit turut berdepan cabaran apabila hujan lebat seketika ketika pemeriksaan dijalankan,” katanya. 

Beliau turut mengingatkan pihak majikan supaya memastikan pekerja asing yang diambil bekerja memiliki dokumen serta pas kerja sah bagi mengelak dikenakan tindakan tegas.

“Majikan yang gagal mematuhi undang-undang penggajian pekerja asing akan dikenakan tindakan sewajarnya. 

“Kita tidak akan berkompromi dalam soal ini, dan sekiranya ada yang ditahan ketika operasi dilaksanakan maka tindakan tegas akan diambil,” katanya.

Tinjauan mendapati terdapat segelintir warga asing cuba mencetuskan provokasi serta menyamar sebagai pelanggan bagi mengelak ditahan dalam operasi selain  berpura-pura membeli barangan di premis sekitar bagi mengaburi pihak berkuasa.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN