PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi tempoh tiga hari kepada individu dan syarikat untuk mendapatkan surat kebenaran terkini daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) bagi bekerja serta beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang berkuat kuasa hari ini.
Ini susulan masih ramai pengguna jalan raya yang menggunakan surat kebenaran lama semasa melalui sekatan jalan raya (SJR) dan memberi alasan surat baharu dalam proses kelulusan kementerian terbabit.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, bagaimanapun, pihaknya memberi kelonggaran dengan tidak mengenakan sebarang kompaun terhadap mereka yang masih menggunakan surat kebenaran lama itu.
“Kita beri mereka tempoh tiga hari bermula hari ini selaras arahan Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamad.
“Selepas tempoh itu, individu dan syarikat yang masih gagal mengemukakan surat kebenaran baharu akan dikenakan tindakan kompaun,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, di sini hari ini.
Tambahnya, pihak polis tidak akan berkompromi jika mereka tidak dapat mengemukan surat kebenaran baharu.
Terdahulu, Mohamad Fakhrudin bersama IPD Petaling Jaya dengan kerjasama Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) melakukan Operasi Pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) di kilang elektronik dan pemprosesan makanan di Kota Damansara serta Kelana Jaya di sini.
Jelas beliau, sebanyak lapan premis sektor perkilangan dan perkhidmatan diperiksa sebelum mendapati kesemua premis mematuhi SOP ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN). – UTUSAN










