PETALING JAYA: Titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk memanggil ahli Parlimen kembali bersidang disokong sepenuhnya supaya sistem demokrasi negara boleh berfungsi semula.
Dalam satu kenyataan bersama, pemimpin Pakatan Harapan Plus (PH Plus) berkata, sidang Parlimen diperlukan untuk membebaskan negara daripada terus dibelengu ancaman Covid-19.
“Kenyataan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim baru-baru ini adalah berdasarkan kepada Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021, pada Seksyen 14 (1)(b) yang memberi kuasa kepada Agong untuk memanggil, memprorog (melanjutkan) dan membubarkan Parlimen.
“Seiring pandangan Tuan Yang Dipertua Dewan Negara, kami juga berpendapat bahawa kuasa tersebut telah diturunkan terus kepada Seri Paduka dan ia adalah penyerahan kuasa yang lengkap bersesuaian dengan tempoh darurat yang masih berlangsung,” katanya kenyataan itu.
Terdahulu, Rais berkata ,Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa untuk memanggil Parlimen bersidang di bawah Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021.
Kenyataan media bersama itu dikeluarkan oleh anggota Kaukus Kejahteraan Rakyat Dewan Negara termasuk Senator Raj Munni Sabu, Senator Liew Chin Tong, Senator Datuk Theodore Doughlas, Senator Ismail Yusop dan 15 senator lain.
Jelasnya, mereka konsisten menekankan bahawa sebarang keputusan berkaitan menangani krisis politik, kesihatan dan ekonomi negara sewajarnya dilakukan di Parlimen.
“Parlimen adalah institusi tertinggi demokrasi yang mewakili suara semua rakyat. Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) adalah hak rakyat dan tempat di mana hak dan suara mereka didengar secara jelas, terarah dan konstruktif.
“Parlimen perlu segera kembali berfungsi sebagai platform semak imbang tata kelola serta perjalanan pentadbiran kerajaan, membahas Ordinan-Ordinan Darurat serta Pelan Pemulihan Negara, membincang lumat akan segala peruntukan perbelanjaan Kerajaan bagi membantu rakyat secara adil dan menyeluruh,” katanya. – UTUSAN ONLINE