KANGAR: Jumlah pesakit Covid-19 di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini turun sehingga 50 peratus dengan kes wabak berkenaan di negeri ini terus menunjukkan penurunan.
Pengarah HTF, Dr. Othman Warijo berkata, setakat ini, sekitar 20 pesakit yang dirawat di hospital tersebut berbanding 50 pesakit dalam satu-satu masa sebelum ini.
“Jadi kami berharap perkembangan positif ini akan berterusan di negeri ini dalam usaha mengekang penularan Covid-19.
“Dari segi kapasiti hospital, kita tiada masalah dan sentiasa bersedia jika ada keperluan,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian sumbangan peralatan perubatan untuk wad Covid-19 daripada Dr. C.Muthuveerappan dari Klinik dan Surgeri Sedhuram, Pauh dan anaknya, Dr. M.Ramanathan dan Dr. M.Vairavan di sini semalam.
Sementara itu Othman memberitahu, bantuan tersebut secara tidak langsung dapat meningkatkan keupayaan dan persediaan hospital dalam merawat pesakit Covid-19.
“Sumbangan yang diperoleh itu termasuk peralatan untuk kegunaan wad dan dewan bedah yang bernilai kira-kira RM11,000,” katanya.










