KANGAR: Kerajaan negeri memperuntukkan RM1.5 juta bagi menyediakan keperluan asas kepada keluarga yang berkelayakan serta memerlukan di negeri ini sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan sekatan pergerakan penuh fasa pertama.
Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man berkata, bantuan keperluan asas harian bernilai RM50 itu akan diagihkan setiap tiga hari sekali sepanjang tempoh tersebut.
Katanya, pengagihan bantuan tersebut akan diuruskan pusat khidmat wakil rakyat atau pusat khidmat Menteri Besar bagi setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan kerjasama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) atau mekanisme yang bersesuaian di setiap DUN.
“Kerajaan Persekutuan telah mengumumkan pelaksanaan PKP 3.0 fasa pertama untuk tempoh dua minggu mulai 1 hingga 14 Jun dengan semua sektor sosial dan ekonomi ditutup kecuali perkhidmatan perlu.
“Bagi mengelakkan kesan negatif yang mungkin timbul akibat daripada pelaksanaan PKP tersebut dan di atas keprihatinan kerajaan negeri, kita bersetuju memperuntukkan sebanyak RM1.5 juta dengan serta-merta bagi menjaga kepentingan golongan bersasar di Perlis,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Seterusnya, Azlan berharap bantuan segera itu akan mengurangkan bebanan hidup golongan memerlukan.
“Dalam masa sama, saya menyeru rakyat di negeri agar terus kekal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan demi keselamatan dan kesejahteraan semua,” katanya.










