Perolehan DRB-HICOM melonjak 28% - Utusan Malaysia

Perolehan DRB-HICOM melonjak 28%

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: DRB-HICOM Berhad merekodkan peningkatan perolehan sebanyak 28 peratus kepada RM3.51 bilion pada suku pertama tahun ini berbanding RM2.74 bilion dalam tempoh sama tahun lalu. 

Prestasi memberangsangkan itu dipacu permintaan kenderaan yang meningkat, selain prestasi lebih baik anak syarikat dan sumbangan hasil yang lebih tinggi daripada syarikat usaha sama dan bersekutu.

Kumpulan turut mencatat keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak RM36.3 juta untuk tempoh tersebut, berbanding kerugian RM185.3 juta bagi tempoh yang sama pada 2020.

Kumpulan dalam kenyataan berkata, sektor automotif sekali lagi memacu prestasi DRB-HICOM, dibantu pengecualian cukai jualan untuk pembelian kenderaan penumpang yang dilanjutkan sehingga Jun 2021 membantu kumpulan memperoleh pendapatan RM2.58 bilion.

Menurutnya, jenama automotif di bawah Kumpulan DRB-HICOM, termasuk Proton, Honda, Mitsubishi, Volkswagen dan Isuzu mempamerkan prestasi jualan yang lebih baik pada Mac berbanding Februari 2021. 

“Data Persatuan Automotif Malaysia (MAA) menunjukkan pengeluar kereta nasional Proton berjaya menjual 32,420 unit bagi suku pertama, mengekalkannya pada tempat kedua dalam carta jualan kenderaan nasional. 

“Honda pula mengekalkan statusnya sebagai jenama kenderaan bukan nasional nombor satu dengan jualan sebanyak 14,771 unit untuk suku tersebut.

“MAA mensasarkan volum keseluruhan industri (TIV) tahun ini akan meningkat sebanyak lapan peratus, didorong penjualan kenderaan penumpang,” menurut kenyataan itu, semalam.

Kenyataan turut memaklumkan, kumpulan mencatat perolehan bernilai RM863.7 juta bagi sektor perkhidmatan dalam suku pertama berbanding RM830.5 juta tahun lalu, dipacu prestasi pos dan logistik serta anak syarikat perbankan.

“Sektor hartanah pula mencatat pendapatan bernilai RM69.7 juta berbanding RM93.3 juta suku sama tahun lalu. Hasil pengebilan yang lebih rendah akibat pengurangan aktiviti pembinaan mempengaruhi penurunan jumlah pendapatan tersebut,” jelasnya.

Bagi prospek tahunan, kumpulan akan terus berhati-hati untuk mengekalkan prestasi operasi dalam suasana yang mencabar berikutan penularan wabak Covid-19 di negara ini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya