Perlu ada peraturan pemilikan benefisiari syarikat untuk kesan ketirisan - Utusan Malaysia

Perlu ada peraturan pemilikan benefisiari syarikat untuk kesan ketirisan

AZAM Baki ketika berucap pada pembukaan Program Latihan Antarabangsa bersama antara SPRM dan International Association of Anti-Corruption Authorities (IAACA) secara maya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) perlu mewujudkan peraturan pemilikan benefisiari organisasi untuk memudahkan pengesanan gejala ketirisan pihak berkepentingan.

Saranan itu disuarakan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki susulan kes perolehan kontrak kerajaan oleh individu tertentu.

“Sudah tiba masa, Malaysia memerlukan satu undang-undang pemilikan benefisiari di bawah SSM serta memudahkan SPRM dapat jejak rekod syarikat yang berstatus diragui,” katanya.

Beliau berucap pada pembukaan Program Latihan Antarabangsa bersama antara SPRM dan International Association of Anti-Corruption Authorities (IAACA) secara maya di sini hari ini.

SPRM sebagai tuan rumah yang kedua selepas program sulung dianjurkan bersama antara IAACA dan Independent Commission Against Corruption (ICAC) Hong Kong pada 2019.

Persidangan dua hari bermula hari ini hingga esok, dijalankan secara maya dengan penyertaan kira-kira 400 peserta dari 50 negara yang mewakili 64 buah organisasi.

Ia turut disertai Ketua Cawangan Jenayah Ekonomi dan Korupsi, Pejabat Jenayah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Brigitte Strobel-Shaw serta Setiausaha Agung IAACA, Dr. Thomas Peran.

Mengulas lanjut, Azam merujuk beberapa kes berprofil tinggi di Malaysia baru-baru ini apabila ada individu mampu bolot puluhan tender projek kerajaan bernilai keseluruhan RM3.8 bilion.

“Sindiket ini berjaya dikesan SPRM selepas kita terpaksa semak segala maklumat benefisiari syarikat itu yang bijak guna banyak penama berbeza bagi lindung pemilik sebenar,” jelasnya.

Justeru, SPRM berpendapat selaras dengan 12 inisiatif di bawah Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019- 2023, usaha pengesanan suspek memerlukan pindaan peraturan benefisiari.

Langkah itu jelasnya, boleh dilaksanakan dengan memasukkan klausa tertentu dalam Akta SPRM 2009 bagi penjejakan maklumat benefisiari yang cuba memohon perolehan tender awam.

Azam menambah, berdasarkan pengalaman dirinya selama 37 tahun dalam SPRM, kaedah korupsi turut berubah evolusi dengan semakin canggih manipulasi pihak berkuasa sendiri.

“Puluhan tahun lalu, duit rasuah diberi secara sorok di bawah meja, kemudian terbuka atas meja dan kali ini khidmat ‘runner’ digunakan agar kita tidak tahu siapa dalangnya,” kata beliau.

Perubahan modus operandi penjenayah kolar putih itu tegasnya, memerlukan SPRM lebih teliti dari segi cara gerak kerja kerana suspek dilihat kreatif menyamar dalam pelbagai syarikat.

Beliau juga menyeru penyiasat agensi antirasuah diberikan pendedahan melalui pembangunan modal insan dan latihan dengan peruntukan cukup bagi mengekang jenayah berkenaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN