Empat kriteria perlu ada dalam diri calon Perdana Menteri Pas

Empat kriteria perlu ada dalam diri calon Perdana Menteri Pas

HASHIM Jasin berucap merasmikan Muktamar Dewan Ulama Pas Pusat ke-64 di Maahad Darul Hadis di Alor Setar. - UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin menggariskan empat kriteria yang perlu ada dalam diri calon Perdana Menteri daripada Pas sebelum diangkat ke jawatan itu untuk mengemudi negara.

Beliau berkata, ciri pertama adalah seorang pemimpin yang bertakwa iaitu bersifat takut kepada Allah dan kedua beramal dengan syariat yang diturunkan.

Kriteria ketiga kata Hashim, adalah pemimpin yang membuat persediaan untuk kembali kepada Allah dan ciri keempat merupakan seorang yang reda dengan rezeki ditentukan oleh Allah kepadanya.

“Pemimpin berciri inilah yang kita cari, bukan yang kaya dapat banyak-banyak. Orang kata Pas tepu tak ada pemimpin yang layak jadi Perdana Menteri, kalau kita tanya balik hang nak orang macam mana jadi Perdana Menteri ini.

“Kalau dia kata yang naik kapal terbang pergi mesyuarat merata-rata berlambak dalam Pas tapi kami tak akan bagi, bukan jenis itu yang kita cari, nak letak seorang Perdana Menteri untuk memimpin bukan jenis itu kalau jenis itu tiga, empat lori kami boleh cari,” katanya ketika merasmikan Muktamar Dewan Ulama Pas Pusat ke-64, di sini hari ini.

Semalam, Pemuda Pas menamakan Timbalan Presiden, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man selaku pilihan pertama untuk diketengahkan sebagai calon Perdana Menteri daripada Pas.

Ketuanya, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang serta Naib Presiden yang ada juga layak dicalonkan berdasarkan pengalaman luas mereka.

Sementara itu, Hashim berkata, sama ada Perdana Menteri Pas terdiri daripada golongan ulama atau profesional, pemimpin itu perlu memiliki keempat-empat ciri dinyatakan.

“Contoh tahun 1990 waktu Pas menang di Kelantan dan (Allahyarham Tan Sri) Nik Abdul Aziz Nik Mat jadi Menteri Besar, UMNO dan (Tun) Dr. Mahathir Mohamad kata tok guru hanya baca kitab dan tok guru jawab balik doktor hanya duduk di hospital sahaja.

“Mereka kata tiga bulan Pas akan tumbang di Kelantan tapi enam bulan kemudian, setahun dan seterusnya berpuluh tahun Pas kekal dan tiada masalah. Nik Aziz cerita hari pertama dilantik dia tidak terus duduk kerusi Menteri Besar sebaliknya menunaikan solat dhuha,” katanya.

Dalam sidang akhbarnya, Hashim berkata, sistem Islam dalam memilih ketua berbeza dengan apa yang diamalkan ketika ini dan Pas sebagai parti yang berteraskan Islam sepatutnya menonjolkan kehendak agama.

“Kita nak nilai seorang calon dari sudut apa sebab itu kita baiah seseorang yang layak untuk bertanding ada syaratnya dan keberkatan daripada ikut apa yang Islam nak boleh kata kosonglah orang yang langgar (buat salah), kalau bandingkan pihak lain kita lebih bagus sebab rujuk hukum Islam,” katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN