Perhilitan rampas 23 ekor burung dilindungi - Utusan Malaysia

Perhilitan rampas 23 ekor burung dilindungi

PERHILITAN Johor merampas 23 ekor burung daripada spesies yang dilindungi di sebuah rumah di Taman Bestari Indah, Ulu Tiram, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor merampas 23 ekor burung daripada pelbagai spesies dilindungi yang disimpan seorang lelaki di rumahnya Taman Bestari Indah, Ulu Tiram.

Pengarah Perhilitan Johor, Salman Saaban berkata, satu serbuan dibuat pada pukul 10.30 malam semalam melibatkan empat pegawai penguat kuasa jabatan terbabit yang bertindak atas maklumat orang ramai.

“Dalam operasi itu, Perhilitan Johor menemukan 11 ekor burung Bayan Nuri, seekor burung Bayan Puling, seekor burung Murai Batu dan 10 ekor burung Bayan Serindit. Kesemua burung ini dilindungi di bawah Akta 716.

“Selepas diperiksa, pemilik premis iaitu seorang lelaki tempatan berusia 47 tahun tidak mempunyai sebarang dokumen yang sah untuk menyimpan spesies burung itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Salman berkata, kesemua burung tersebut disita bersama-sama dengan satu unit telefon bimbit untuk siasatan lanjut.

Katanya, nilai hasil sitaan berjumlah RM9,500 dan satu laporan polis sudah dibuat di Balai Polis Ulu Tiram.

“Kesemua barang kes dibawa ke Pejabat Perhilitan Daerah Kluang untuk tindakan selanjutnya. Lelaki terbabit dilepaskan dengan jaminan polis selepas soal siasat dilakukan,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 60 Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) yang memperuntukkan denda sehingga RM50,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Tambah beliau, denda sehingga RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali pula diperuntukkan bagi kesalahan di bawah Seksyen 68 akta yang sama.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya