Penganggur mengaku tidak bersalah beri rasuah pada polis  - Utusan Malaysia

Penganggur mengaku tidak bersalah beri rasuah pada polis 

ABD. Aziz Abdullah@ Shariff mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menawar dan memberi rasuah kepada anggota polis di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor pada hari ini. -UTUSAN/ZULFADHLI ZAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Seorang penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan menawarkan dan memberi rasuah berjumlah RM120,000 kepada anggota polis pada 24 Mei lalu.

Tertuduh, Abd. Aziz Abdullah @ Shariff, 39, didakwa melakukan kesalahan itu sebagai dorongan agar anggota polis terbabit tidak mengambil tindakan ke atasnya kerana memiliki syabu.

Bapa kepada empat orang anak itu membuat pengakuan tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Rihaida Rafie.

Berdasarkan pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh didakwa telah menawarkan dan memberi suapan wang tunai sebanyak RM120,000 kepada seorang anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang sebagai dorongan tidak mengambil tindakan undang-undang ke atas dirinya kerana memiliki dadah jenis syabu yang mana kesalahan ini dilakukan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di tempat letak kereta Mass Railway Transit (MRT) Sri Damansara, Bandar Sri Damansara dan sebuah stesen minyak di Jalan Mahogani, Petaling Jaya pada pukul 6 petang dan 9 malam pada 24 Mei 2021.

Bagi kedua-dua kesalahan itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 Akta (694).

Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) Akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya daripada SPRM, Fadhli Ab. Wahab tidak menawarkan sebarang jaminan memandangkan tertuduh kini berada dalam tahanan reman di Penjara Sungai Buloh bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur.

Mahkamah membenarkan permohonan pihak pendakwaan.

Kes disebut semula pada 12 Julai ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya