Pemuliharaan holistik Hutan Simpan Chini - Utusan Malaysia

Pemuliharaan holistik Hutan Simpan Chini

PEMANDANGAN di Tasik Chini, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Aktiviti perlombongan di Hutan Simpan Chini dihentikan dan tidak lagi mendapat sebarang kelulusan daripada Kementerian Tenaga dan Sumber Asli.

Tindakan tersebut adalah salah satu inisiatif kementerian untuk menyokong setiap usaha yang diambil bagi pemuliharaan tapak biosfera Tasik Chini.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, pihak kementerian sebagai pusat tumpuan nasional bagi program Man and the Biosphere (MAB) di bawah Pertubuhan Pendidikan, Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sentiasa menyokong usaha dan komitmen Kerajaan Negeri Pahang dalam memelihara tapak rizab biosfera Tasik Chini.

“Kementerian tidak akan mengeluarkan sebarang kelulusan untuk aktiviti perlombongan di kawasan-kawasan pemeliharaan seperti Hutan Simpanan Kekal (HSK), Kawasan Rizab Perlindungan mahupun kawasan yang telah diwartakan secara khusus seperti tadahan air atau Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS).

“Bagi maksud ini, Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) tidak akan mengeluarkan sebarang Surat Kelulusan Skim Pengendalian Melombong (SKSPM) bagi permohonan dalam kawasan-kawasan berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini.

Tambah Shamsul Anuar, kelulusan untuk kawasan selain daripada itu adalah tertakluk kepada penilaian dan kelulusan teknikal yang dapat menyediakan suatu tempat kerja yang selamat dan tidak membahayakan komuniti bersebelahan merangkumi flora dan fauna.

Malaysia telah terlibat dalam program MAB UNESCO bermula 2009 menerusi pengiktirafan Tasik Chini pada 26 Mei 2009 yang berkeluasan 6,922.97 hektar.

Inisiatif itu melibatkan program saintifik antara kerajaan bagi memperbaiki hubungan antara manusia dan alam sekitar dengan memberi penekanan kepada keperluan pembangunan dan penjagaan alam sekitar.

Selaras dengan fungsi kawal selia itu, Shamsul Anuar berkata, diharapkan dengan adanya inisiatif daripada Kerajaan Negeri Pahang, pengiktirafan Tasik Chini sebagai tapak rizab biosfera MAB dapat terus dipertahankan.

“Pihak Sekretariat UNESCO telah memberikan tempoh sehingga 2022 untuk penilaian semula status tapak rizab biosfera Tasik Chini. Sebagai tapak rizab biosfera yang pertama di Malaysia, pengurusan Tasik Chini menjadi kayu pengukur kepada pengurusan semua khazanah alam semula jadi negara.

“Antara komitmen kerajaan negeri termasuk pulihara Hutan Simpan Chini, memperluaskan kawasannya kepada 6,000 hingga 7,000 hektar bagi mempergiatkan pemuliharaan kawasan Tasik Chini, pelaksanaan aktiviti penguatkuasaan secara bersepadu, aktiviti melombong di kawasan Tasik Chini dihentikan dan mempertahankan status tapak biosfera UNESCO dilaksanakan,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya