KUALA LUMPUR: Polis masih menjalankan siasatan kes pembunuhan kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin berusia enam tahun pada Disember tahun lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Mohd. Shuhaily Mohd Zain berkata, polis tidak pernah menutup kes terbabit dan masih menanti petunjuk baharu.
“Seperti yang selalu saya katakan, kita tidak pernah tutup mana-mana kes, kes kini menantikan petunjuk baharu, namun malang sekali, selepas ganjaran ditawarkan daripada pihak badan bukan kerajaan (NGO) pun kami tidak menerima petunjuk baharu.
“Saya faham masyarakat tidak puas hati dengan perkembangan kes ini, tetapi macam saya sebut kita tak pernah lupa kes itu dan itu adalah hutang saya kepada masyarakat,” katanya dalam sidang akhbar di Bukit Aman di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd Shuhaily berkata, beliau juga secara peribadi masih berharap ada sinar dalam kes pembunuhan adik Zayn Rayyan.
Ujarnya, pihak polis sehingga hari ini juga masih turun ke lapangan.
“Polis telah cuba yang terbaik, kita harap kes ini masih ada sinar,” katanya.
Pada 5 Disember tahun lepas, Zayn Rayyan, 6, dilaporkan hilang di Damansara Damai, Kuala Lumpur sebelum ditemukan meninggal dunia berhampiran aliran anak sungai, kira-kira 200 meter dari blok rumahnya di Apartment Idaman, Petaling Jaya. – UTUSAN










