KLANG: Menggunakan aplikasi WeChat untuk mencari pelanggan dalam menjalankan aktiviti pelacuran sejak tiga bulan lalu.
Bagaimanapun, kegiatan pelacuran membabitkan warga Vietnam itu tumpas dengan tertangkapnya dua wanita berusia 19 dan 20 tahun dalam serbuan di rumah kedai di Jalan Pekan Baru di sini Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd. Salleh berkata, pihaknya telah melakukan serbuan kira-kira pukul 6.30 petang di rumah kedai tersebut.
“Hasil siasatan, kedua-dua wanita ini aktif mencari pelanggan sejak tiga bulan lalu dengan menggunakan aplikasi WeChat. Mereka mengenakan bayaran RM150 setiap kali perkhidmatan.
“Kita juga telah membuat serbuan di sebuah lagi rumah lot di Jalan Meru di sini dan menahan tiga warga Bangladesh termasuk seorang wanita berusia 30-an. Aktiviti pelacuran ini dipercayai aktif sejak dua bulan lalu dengan mensasarkan pelanggan yang terdiri daripada warga asing di kawasan sekitar.
“Modus operandi suspek akan mencari pelanggan sendiri dan menjemputnya ke rumah dan bayaran yang dikenakan adalah RM50 setiap kali perkhidmatan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambah Nurulhuda, daripada dua serbuan itu, pihaknya merampas beberapa plastik berisi kondom, cecair pelincir, buku catatan dan wang tunai.
“Kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan, Seksyen 16 Akta Pencegahan dan pengawalan Penyakit Berjangkit dan Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1956,” ujarnya. – UTUSAN










