PETALING JAYA: Empat penjawat awam yang ditahan kerana mengadakan parti di sebuah hotel mewah di Jalan Pinang di sini kelmarin dipercayai pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Memberitahu Utusan Malaysia, sumber berkata, mereka yang ditahan adalah pegawai berpangkat Deputi Superintendan (DSP) dan Inspektor (dua orang) dan seorang konstabel polis.
Malah kata sumber, pegawai berpangkat DSP itu juga mempunyai pelbagai kesalahan tatatertib sebelum ini termasuk bawah Seksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA).
Jelas sumber, difahamkan salah seorang pegawai berpangkat Inspektor yang ditahan merupakan anak kepada seorang Datuk dan telah bertugas sebagai pegawai risikan dan operasi (RO) di sebuah jabatan.
“Tidak dapat dipastikan apa tindakan yang diambil kepada mereka,” katanya di sini hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim ketika dihubungi Utusan Malaysia mengesahkan penahanan kesemua pegawai dan anggota tersebut.
Kata beliau, bagaimanapun, dakwaan sama ada kesemua mereka pernah ditahan sebelum ini atau tidak perlu disemak terlebih dahulu.
“Saya sahkan mereka ditangkap namun berkenaan pernah ditangkap sebelum ini saya perlu semak,” jelasnya.
Terdahulu, media melaporkan empat penjawat awam antara 32 individu yang ditahan selepas dipercayai menyertai parti persendirian dalam serbuan di dua bilik hotel di Jalan Pinang, di sini.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah dilaporkan berkata, siasatan awal mendapati parti berkenaan dianjurkan penjawat awam yang menempah bilik hotel itu.
Beliau berkata, 20 daripadanya dikompaun RM2,000 setiap seorang manakala lapan warga asing serta empat penjawat awam disiasat mengikut dibuka Seksyen 21A Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.
Tindakan kompaun diambil mengikut Peraturan 17(1) Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021 kerana melakukan aktiviti sosial dan perhimpunan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Selain itu, kes juga disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 susulan penemuan satu paket dadah di lokasi terbabit.










