Op Patuh besar-besaran bermula Khamis ini - Utusan Malaysia

Op Patuh besar-besaran bermula Khamis ini

HAMZAH Zainuddin (kiri) melihat perusahaan songket yang dihasilkan banduan di Penjara Marang di Marang. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Operasi membanteras ketidakpatuhan prosedur operasi standard (SOP) atau Op Patuh secara besar-besaran akan dilakukan selama empat hari bermula Khamis ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin menegaskan, mana-mana pihak yang dikesan melanggar SOP ditetapkan bakal berdepan tindakan kompaun sehingga kadar maksimum.

Katanya, operasi bersepadu yang melibatkan 21 agensi penguatkuasan dan jabatan itu akan turut menggunakan aset strategik seperti helikopter dan dron bagi pemantauan lebih berkesan di samping pelaksanaan sekatan jalan raya (SJR) di kawasan panas Covid-19 terutama premis-premis kilang serta perindustrian.

“Op Patuh besar-besaran bermula pada Khamis hingga Ahad ini, jadi kepada syarikat yang dibenarkan beroperasi, bersiap sedia kerana kalau kita sudah tangkap maka kompaun secara maksimum akan dikenakan.

“Menerusi operasi bersepadu besar-besaran ini diharap dapat menurunkan kes harian Covid-19 yang angkanya lebih 5,000,” katanya dalam sidang akhbar selepas melawat Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia ) Terengganu di sini hari ini.

Terdahulu, Hamzah yang dalam lawatan kerja di negeri ini turut berkunjung ke Penjara Marang di samping jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Chendering dan mengikuti operasi Jabatan Imigresen di sekitar Kuala Terengganu.

Katanya, kerajaan juga akan menetapkan petunjuk prestasi utama (KPI) kepada kesemua 154 ketua polis daerah di seluruh negara bagi menjayakan Op Patuh berkenaan dan perincian mengenainya yang bakal diputuskan dalam mesyuarat esok.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kesihatan berhubung cadangan pembelian peralatan ujian calitan dalam hidung (RTK Antigen) untuk penguat kuasa Maritim Malaysia.

Katanya, langkah itu bakal membolehkan penguat kuasa melakukan saringan awal kepada nelayan asing yang ditahan menceroboh perairan negara ketika di tengah laut berbanding kaedah sedia ada pada masa ini bagi mengelakkan penularan jangkitan Covid-19 kepada anggota dan pegawai.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN