MMA salah tafsir keseluruhan kenyataan Kementerian Kesihatan - Utusan Malaysia

MMA salah tafsir keseluruhan kenyataan Kementerian Kesihatan

KERATAN akhbar Utusan Malaysia bertarikh 16 Jun lalu bertajuk 'Teliti semula urusan pengambilan pegawai perubatan'.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan menegaskan kekeliruan dan salah tafsiran berkaitan pernyataan di perenggan pertama kenyataan media sebelum ini, kononnya wujud unsur perkauman dan keagamaan dalam pemilihan dan pelantikan pegawai perubatan secara tetap.

Ketua Setiausahanya, Mohd. Shafiq Abdullah berkata, pernyataan perenggan pertama tersebut bukanlah pendirian kementerian tetapi petikan intipati dan ulasan oleh Persatuan Perubatan Kesihatan Awam Malaysia dan Pertubuhan Doktor-doktor Islam Malaysia menerusi keratan akhbar Utusan Malaysia bertarikh 16 Jun lalu bertajuk ‘Teliti semula urusan pengambilan pegawai perubatan’.

Katanya, sebenarnya ia adalah penjelasan Kementerian Kesihatan mengenai isu yang dibangkitkan kedua-dua persatuan berkenaan dibuat mulai perenggan kedua dalam kenyataan media tersebut.

“Perenggan kedua itu berbunyi: ‘Berhubung pelantikan secara tetap, pelantikan ini ditawarkan kepada pegawai yang melepasi kriteria pelantikan tetap yang telah digariskan menerusi surat pekeliling yang ditetapkan. Selain itu, pelantikan tetap dilaksanakan berdasarkan kekosongan jawatan tetap dari semasa ke semasa selaras dengan peraturan berkaitan perjawatan dan kewangan yang berkuat kuasa. Pelantikan tetap melebihi perjawatan tetap keseluruhan sedia ada tidak dibenarkan dan boleh mengundang teguran audit’.

“Maka, Kementerian Kesihatan berharap penjelasan ini dapat memperbetulkan kekeliruan dan salah tafsiran semua pihak mengenai ketelusan dan integriti kementerian dalam menguruskan pelantikan secara tetap pegawai perubatan yang selama ini dibuat berasaskan merit dan prestasi semasa latihan siswazah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kekeliruan dan salah tafsiran MMA yang mengeluarkan kenyataan media bertajuk ‘Health care is colour blind” semalam.

Mohd. Shafiq berkata, pihaknya ingin menegaskan Kementerian Kesihatan menolak unsur perkauman dan keagamaan dalam pemilihan dan pelantikan pegawai perubatan secara tetap.

Rabu lalu, Utusan Malaysia melaporkan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba menegaskan pengambilan doktor graduan perubatan untuk mengikuti latihan siswazah tidak pernah dihentikan malah diteruskan seperti kaedah beberapa tahun lalu.

“Sejak 1 Disember 2016 sehingga 31 Mei lalu, seramai 23,077 Pegawai Perubatan UD41 telah dilantik secara kontrak bagi menjalani latihan siswazah dan khidmat wajib.

“Seperti mana kementerian lain, Kementerian Kesihatan juga tertakluk dengan Dasar Kawalan Saiz Perkhidmatan Awam (rightsizing) iaitu pelantikan tetap melebihi perjawatan tetap keseluruhan sedia ada tidak dibenarkan dan boleh mengundang teguran audit,” katanya.

Kenyataan itu dibuat bagi mengulas mengenai pandangan Persatuan Perubatan Kesihatan Awam Malaysia dan Pertubuhan Doktor-doktor Islam Malaysia supaya kerajaan meneliti semula pengambilan dan penempatan lantikan baharu graduan perubatan untuk berkhidmat di Kementerian Kesihatan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya