Misi Ali mencari ibu - Utusan Malaysia

Misi Ali mencari ibu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Berpeluang untuk menonton Ali & Ratu Ratu Queens sebelum ditayangkan di Netflix tidak harus dilepaskan. Apatah lagi selepas pelbagai komen positif daripada penggemar filem yang turut menantikan tayangan filem ini.

Jadi harapan sudah diletakkan setinggi boleh. Sebagai antara peminat filem Indonesia, saya mahu menonton filem itu dengan hati yang terbuka walaupun dari awal, sudah mengharapkan jalan cerita dan pengakhiran yang baik.

Tidak keterlaluan jika Ali & Ratu Ratu Queens yang sudah mula ditayangkan 17 Jun lepas berjaya menjadi antara filem kegemaran kala ini. Ramai yang memuji dan menonton berulang kali filem yang mendapat sentuhan sutradara, Lucky Kuswandi ini.

Membawa penonton terbang jauh ke New York, Ali (Iqbaal Ramadhan) menjejakkan kaki ke The Big Apple itu dengan satu tujuan, mencari ibu yang sudah ‘meninggalkannya’ berbelas tahun dahulu. Namun, perjalanannya bukan mudah.

Dia bertemu empat orang wanita warga Indonesia yang bekerja di New York. Perkenalan itu berubah menjadi satu persahabatan. Ali mula selesa untuk menganggap wanita-wanita yang menggelarkan diri mereka, Ratu Ratu Queens itu sebagai ‘ibu’.

Hasrat untuk bertemu ibunya, Mia (Marissa Anita) menjadi satu kenyataan. Namun ada halangan yang membuatkan Mia kurang selesa dan lebih mudah untuk melupakan sahaja Ali. Tidak cukup itu, Mia juga melakukan sesuatu untuk menghantar Ali pulang ke negara asal.

Ya, menonton itu sudah pasti membuatkan hati kita kecewa. Namun hati Ali lebih kecewa. Ditinggalkan sekali lagi oleh ibunya sendiri yang telah meninggalkan dia berbelas tahun dahulu. Permainan emosi yang cukup meruntun hati.

Pulang semula ke pangkuan ‘ibu-ibu sementaranya’, Ali mula memberontak. Bagi Ali, tiada siapa yang faham dan mempercayainya. Lantas persahabatan itu dicemari dengan pergolakkan dan sangsi. Lantas Ali mula membawa diri dan berdikari.

Mahu tahu apa yang berlaku selanjutnya? Apa kata ambil remote dan mencari filem tersebut di Netflix. Mudah sahaja bukan? Pesanan khidmat masyarakat, jangan pula tunggu dan memuat turun Ali & Ratu Ratu Queens di saluran penstriman haram ya!

Serasi ikat hati

Berbicara tentang Ali & Ratu Ratu Queens, filem ini harus dipuji terutama kekuatan jalan cerita dan bagaimana penonton dibawa bersama dalam setiap langkah Ali mencari ibunya. Malah tidak keterlaluan, kita juga dapat merasainya segenap rasa dalam hati Ali.

Tatkala kekecewaan mula merasuki Ali, kita sendiri akan merasai kesedihan. Ya, bergenang juga air mata saya. Bayangkan ibu yang dicari dan dirindui dengan penuh sayang tidak mahu mengakui kita sebagai anak? Luluh hati.

Malah keserasian lakonan Iqbaal, Marissa dan geng Ratu Ratu Queens dibintangi Nirina Zubir, Asri Welas, Tika Panggabean dan Happy Salma cukup hebat. Mereka bagaikan benar-benar hidup di bumi Big Apple itu mengejar impian.

Mereka berjaya menghidupkan setiap satu watak dengan gaya tersendiri tanpa dibayangi sesiapa. Itu kelebihan yang ada kepada setiap pelakon.

Secara konklusi, Ali & Ratu Ratu Queens harus menjadi salah satu filem wajib tonton dalam senarai anda.

Terutama di kala Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini kan? Ambil masa dan hayati sendiri rasa hangat sebuah kasih sayang dalam kedinginan hidup di New York.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya